MOHAMMAD Irfan menunjukkan salinan kad pengenalan ibu kandungnya yang tidak pernah ditemuinya sejak kecil di Kampung Sungai Udang, Melaka, hari ini. FOTO Noor Azurin Mohd Sharif
MOHAMMAD Irfan menunjukkan salinan kad pengenalan ibu kandungnya yang tidak pernah ditemuinya sejak kecil di Kampung Sungai Udang, Melaka, hari ini. FOTO Noor Azurin Mohd Sharif
Noor Azurin Mohd Sharif


WANITA mencari ibu kandung kanak-kanak lelaki yang dijaganya sejak bayi untuk menyelesaikan urusan pendaftaran surat beranak bagi proses pengambilan anak angkat.

Hamidah Ali, 42, dari Kampung Sungai Udang, Melaka, berkata anak angkatnya, Mohammad Irfan Faris Abdullah, 9, diserahkan ibu kandungnya Mudzma Abdul Moin, 43, berasal dari Sabah.

“Sejak dilahirkan, urusan dokumentasi kelahiran Mohammad Irfan tidak dapat dilakukan disebabkan perkahwinan ibu bapa kandungnya tidak didaftarkan.

“Saya bersama suami sudah berusaha mengesannya, namun buntu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Tukang cuci itu berkata, disebabkan masalah terbabit, anak angkatnya tidak dapat bersekolah sejak Tahun Satu.

“Bagaimanapun, dia (Mohammad Irfan) baru saja memulakan sesi persekolahan di Tahun Tiga sejak awal tahun lalu atas pertimbangan dan keprihatinan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Pendidikan negeri.

“Kasihan juga disebabkan tiada pengenalan diri, kehidupannya berdepan kesulitan,” katanya.

Katanya, mengikut rekod akhir daripada JPN, ibu kandung kanak-kanak itu kini berada di sekitar Selangor.

“Ibu kandung Mohammad Irfan dipercayai berada di Selangor, namun kami sukar untuk menjejakinya di sana berikutan kekangan kewangan dan kenderaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ibu kandung atau waris kanak-kanak itu boleh menghubunginya di talian 011-26568791 atau Zarina 010-7733950.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 3:34 PM