NOORIDAYU dan Shahib bersama Puteri Nafisah (tengah). Gambar kecil, Puteri Nafisah ketika berusia dua bulan.
NOORIDAYU dan Shahib bersama Puteri Nafisah (tengah). Gambar kecil, Puteri Nafisah ketika berusia dua bulan.
Oleh Arifin Salleh

Alor Gajah: Seorang jururawat tidak putus asa mencari ibu kandung anak angkatnya sejak bertahun lalu bagi menyelesaikan proses dokumen hak penjagaan serta persekolahan kanak-kanak itu.

Wanita itu, Nooridayu Karim, 27, dari Ramuan Cina Besar, Masjid Tanah berkata, anak angkatnya, Puteri Nafisah Abdullah, lima tahun, mula dipeliharanya sejak diserahkan ibu kandungnya ketika berusia dua bulan.

Menurutnya, masalah dokumentasi menyebabkan anak angkatnya itu dibimbangi tidak dapat bersekolah kelak.

“Saya bersama suami, Shahib Umar, 31, berusaha mengesan ibu kandung Puteri Nafisah dikenali dengan nama Anis.

“Usaha kami menjejaki Anis yang juga seorang warga Indonesia berusia awal 30-an di Taman Sri Saga, Sungai Chua, Kajang, Selangor bagaimanapun gagal,” katanya ketika ditemui di Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Alor Gajah, di sini.

Menurutnya, dia cuba menjejak wanita itu bertujuan mendapatkan sijil kelahiran untuk prasekolah yang bakal bermula awal tahun hadapan.

Dia yang bingung memikirkan perkara itu merujuk di pejabat JKM, namun diminta mencari ibu kandung kanak-kanak itu terlebih dahulu.

Menceritakan kembali saat mengambil anak angkatnya, Nooridayu berkata, seorang individu menawarkannya anak angkat sebelum diperkenalkan dengan Anis.

“Ketika itu saya baru setahun berkahwin dan teringin memiliki anak sebelum kenalan mendakwa seorang wanita warga Indonesia yang tinggal di Kajang mahu menyerahkan bayinya.

“Saya gembira selepas mendapat tahu berita itu. Kami berjumpa dengan wanita itu dan dengan rela hati dia menyerahkan bayinya tanpa meminta bayaran pada Mac 2010,” katanya.

Nooridayu berkata, wanita itu memberitahu nama anaknya Puteri Nafisah dan lahir pada 25 Januari 2010 sambil berpesan supaya menjaganya seperti anak sendiri.

“Disebabkan terlalu gembira, saya terus pulang dan terlupa hendak meminta dokumen kelahiran, namun empat bulan kemudian ibu kandung Puteri menghubungi saya.

“Wanita itu sempat menghantar beberapa mesej bertanyakan khabar bayinya dan sesekali berpesan anaknya dapat dididik dengan sempurna seperti kanak-kanak lain sebelum hilang sehingga hari ini,” katanya.

Pegawai Pelindung JKM Daerah Alor Gajah Zalinah Sahak berkata, pihaknya sudah mendapatkan kebenaran mahkamah bagi membantu ibu bapa anak angkat terbabit.

“Kami dapati tiada sebarang dokumen pengesahan berhubung mangsa yang dijadikan anak angkat.

“Orang ramai yang mengenali wanita dikenali dengan nama Anis, warga Indonesia berusia dalam lingkungan awal 30-an diminta menghubungi Pejabat JKM Alor Gajah di talian 06-5561267,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 7:56 AM