GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuhainy Zulkiffli


GURU berusia 43 tahun ditemui meninggal dunia dalam kereta di kawasan parkir rumahnya berhampiran pasar awam Paya Terubong, Tingkat Paya Terubong, Georgetown, hari ini.

Guru itu ditemui sudah tidak bernyawa oleh guru besar yang ke rumah lelaki terbabit kerana bimbang dengan keselamatannya selepas mendapati dia tidak datang ke sekolah.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.35 pagi berhubung kejadian berkenaan.

Katanya, terdahulu guru besar menelefon ibu lelaki berkenaan kerana dia tidak dilihat di sekolah namun ibunya mendakwa anaknya sudah pergi ke sekolah.

"Bimbang dengan keselamatan guru terbabit, guru besar kemudian ke rumah lelaki itu dan mendapati enjin keretanya tidak dihidupkan dan guru berkenaan pula ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Guru besar kemudian menghubungi talian kecemasan MERS 999 bagi mendapatkan bantuan," katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan pada jam 10.45 pagi.

Mengulas lanjut, Soffian berkata, lelaki terbabit kali terakhir dilihat ibunya pada jam 6.30 pagi ketika sedang bersiap untuk ke sekolah.

"Ibunya mendakwa lelaki berkenaan tidak mempunyai sejarah kesihatan atau rawatan daripada hospital namun sebulan lalu, dia dikatakan mengalami masalah kesihatan dan tidak ke hospital sebaliknya hanya membeli ubat di farmasi.

"Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah berlaku di tempat kejadian dan lelaki terbabit ditemui mati dalam kereta tanpa enjin dihidupkan.

"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 5:57 PM