Zurayusha Azman menunjukkan nama daftar buku bekas pelajarnya juga pembantu juruterbang MH370, Fariq Abdul Hamid. FOTO AHMAD ISMAIL
Zurayusha Azman menunjukkan nama daftar buku bekas pelajarnya juga pembantu juruterbang MH370, Fariq Abdul Hamid. FOTO AHMAD ISMAIL
Ahmad Ismail


MENGENANG kehilangan pesawat Malaysia Airlines, penerbangan MH370, warga Sekolah Kebangsaan (SK) Temenggung Abdul Rahman di Segamat menitip ingatan terhadap pembantu juruterbang pesawat terbabit yang juga bekas murid sekolah itu, hari ini.

Genap enam tahun hari ini, Fariq Abdul Hamid, 27, pembantu juruterbang pesawat itu kekal diingati meskipun sudah 17 tahun meninggalkan sekolah berkenaan.

Guru Besar SK Temenggung Abdul Rahman, Zurayusha Azman Ismail berkata, Fariq mendaftar sebagai murid di sekolah itu pada 1993 dan ketika itu, bapanya bertugas sebagai jurutera awam di Segamat.

Menurutnya, berdasarkan rekod catatan buku pendaftaran murid ketika itu, alamat kediaman keluarga Fariq di sekitar Paya Pulai, Segamat dan dia adalah antara murid yang bijak di sekolah.

Katanya, setiap kali mengenang kehilangan pesawat MH370 itu, warga SK Temenggung Abdul Rahman, begitu juga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mendoakan agar misteri kehilangan pesawat itu dapat diselesaikan.

“Setiap kali berlaku pertukaran guru dan kakitangan sekolah, kami akan memaklumkan bahawa pembantu juruterbang pesawat MH370 itu adalah bekas murid di sini.

“Kami memahami perasaan keluarga dan waris Fariq yang bersabar sekian lama menunggu noktah misteri kehilangan pesawat itu sejak enam tahun lalu,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Pesawat MH370 dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.

Penerbangan pesawat B777-200 itu berlepas dari KLIA pada 12.41 tengah malam dan dijadualkan tiba di Beijing pada 6.30 pagi waktu tempatan, hari yang sama, sebelum dilaporkan hilang dari radar.

Pesawat berkenaan membawa 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 kru.

Dalam penerbangan itu, Fariq adalah pembantu juruterbang kepada juruterbang Zaharie Ahmad Shah, 53.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 7:43 PM