SASVITHA bersama Mageswary (kanan) dan ibunya (belakang) sebaik selesai menderma untuk Tabung Harapan Malaysia. -Foto MOHD KHIDIR ZAKARIA
SASVITHA bersama Mageswary (kanan) dan ibunya (belakang) sebaik selesai menderma untuk Tabung Harapan Malaysia. -Foto MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


SEORANG kanak-kanak perempuan berjiwa besar apabila mengejutkan guru dan ibunya kerana melahirkan hasrat untuk turut menyumbang kepada Tabung Harapan Malaysia (THM) dengan hasil usahanya.

Murid Sekolah Rendah Kebangsaan Tamil (SJKT) Port Dickson R Sasvitha, 9, menderma sebanyak RM320 selepas mengumpulnya dengan menjual pelbagai alat tulis kepada rakan sekolah dan saudara maranya.

Guru besar sekolah itu, K Mageswary, 49, berkata Sasvitha meminta sedikit wang daripada ibunya, A Vasanthi, 48, sebagai modal untuk membeli alat tulis dan menjualnya kembali kepada rakan-rakan di sekolah.

“Pada mulanya, kami tidak tahu tujuan dia yang sebenar, tetapi sebaik semua barangannya habis terjual dengan jumlah wang keseluruhan terkumpul sebanyak RM320, dia memberitahu mahu menderma kepada Tabung Harapan Malaysia. Kami sangka dia bergurau dan terus menghubungi ibunya untuk kepastian.

“Sebaik mendapat kebenaran ibunya, dia dibawa ke sebuah bank di bandar ini bagi merealisasikan hasratnya itu. Seluruh warga sekolah berbangga dengan apa yang dilakukannya dan patut dicontohi,” katanya.

Sementara itu, Vasanthi berkata, dia turut menderma kepada THM sekali gus mencetuskan minat anaknya untuk membuat perkara yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 2:00 PM