GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Rosyahaida Abdullah

PENGGUNA rangkaian lebuh raya sistem tertutup kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) disaran sentiasa memastikan baki kad Touch 'n Go yang digunakan mencukupi untuk transaksi tol bagi mengelak gangguan terhadap kelancaran perjalanan pengguna lain di lorong tol.

Ketua Perhubungan Korporat, Komuniti dan Awam PLUS, Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid berkata, menjelang pelaksanaan transaksi tol menggunakan Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) di semua lebuh rayanya tidak lama lagi, tiada lagi kakitangan PLUS akan ditempatkan di pondok tol untuk menyediakan perkhidmatan tambah nilai kad Touch 'n Go buat semua pengguna.

"Langkah memberhentikan perkhidmatan tambah nilai kad Touch 'n Go di lorong tol sudah lama dilaksanakan oleh PLUS sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula lagi.

"Malah, ketika PKP, kami turut melihat langkah ini sebagai satu daripada usaha untuk mengurangkan risiko penularan Covid-19 dalam kalangan pengguna dan kakitangan di plaza tol sekali gus membolehkan penjarakan sosial diamalkan," katanya.

Tambah Syed Mohammed Idid, apabila PLUS melaksanakan transaksi pembayaran tol tanpa tunai secara sepenuhnya pada 2017, PLUS masih mewujudkan lorong khas untuk tambah nilai bagi melancarkan proses migrasi terbabit.

Ketika itu, kata beliau, lokasi untuk pengguna melakukan tambah nilai juga agak terhad.

"Namun, kini lebih 11,000 lokasi tambah nilai tersedia untuk pengguna daripada mesin tambah nilai dan stesen minyak sehinggalah kedai serbaneka dan farmasi, jadi isu kesukaran melakukan tambah nilai kad Touch 'n Go rasanya tidak lagi timbul," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi.

Menurut beliau, langkah untuk tidak lagi menyediakan perkhidmatan tambah nilai kad Touch 'n Go bertujuan membiasakan pengguna dengan sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) serta RFID sebelum itu.

Ia katanya selaras hasrat kerajaan untuk mengurangkan kesesakan dan meningkatkan tahap keselesaan di plaza tol.

  Syed Mohammed Idid juga berkata, RFID yang sepatutnya dilancarkan pada 1 April lalu di semua plaza tol lebuh raya sistem tertutup PLUS dijangka dapat mengatasi masalah pengguna kekurangan baki untuk melengkapkan transaksi tol.

"Namun begitu, susulan PKP, pelaksanaan RFID terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh yang lain pada tahun ini.

  "Lanjutan daripada itu, kami berharap semua pengguna sudah bersedia untuk menyesuaikan diri dengan peralihan teknologi transaksi pembayaran tol menggunakan RFID yang bertujuan memastikan kelancaran trafik di pintu masuk serta pintu keluar (plaza tol).

"Hakikatnya sejak transaksi tanpa tunai dilaksanakan (menerusi penggunaan kad Touch 'n Go) pada 2017, pengguna kini sudah biasa dengan kaedah transaksi ini cuma masih ada sekitar dua peratus pengguna yang sering berhadapan dengan masalah kekurangan baki dan tetap ingin menambah nilai di lorong tol.

  "Di sesetengah plaza tol, masih terdapat kakitangan yang ditempatkan di dalam pondok tol. Tetapi, mereka sebenarnya bukanlah ditugaskan untuk menyediakan perkhidmatan tambah nilai di plaza tol tetapi untuk membantu pengguna yang menghadapi masalah teknikal lain," ujarnya.

  Jelas beliau, perkara ini kadang-kala menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna yang mungkin berpendapat mereka boleh menggunakan lorong terbabit untuk membuat urusan tambah nilai.

"Apa yang dikesalkan, sebilangan pengguna yang sering mengalami baki kad Touch 'n Go yang kurang untuk melengkapkan transaksi tol mereka ini kebanyakannya adalah pengguna yang sama.

"Mereka menyalahguna kehadiran petugas tol di pondok tol untuk membuat urusan tambah nilai tanpa memikirkan kesannya terhadap kelancaran perjalanan pengguna yang lain di plaza tol, serta risiko penularan Covid-19 ketika masyarakat pada hari ini sedang menyesuaikan diri dengan normal baharu," katanya.

Sejak 1 Januari, sebanyak 10 lebuh raya sistem terbuka kendalian PLUS sudah melaksanakan transaksi pembayaran tol menggunakan RFID antaranya Jambatan Pulau Pinang dan Mambau (Lebuhraya Seremban-Port Dickson).

Untuk rekod, lebuh raya sistem terbuka melaksanakan penetapan kadar tol berdasarkan kelas kenderaan tanpa mengira jarak perjalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 4:16 PM