Gambar adalah ihsan Info Traffic Kelantan (ITK)
Gambar adalah ihsan Info Traffic Kelantan (ITK)
Siti NadzirahChe Mud


DUA lelaki termasuk seorang anggota polis maut manakala tiga cedera, termasuk dua parah selepas kereta dinaiki mereka terbabit kemalangan, har ini.

Kejadian berlaku di Kilometer 37 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Bukit Belah, di Machang, kira-kira 3 pagi.

Mohd Faisal Pauzi, 31, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban dan Mohd Zariff Che Zukri, 25, meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua yang parah adalah adik Mohd Faisal yang juga anggota polis di IPK Kuantan, Muhamad Amin, 25, dan Nik Muhammad Arif Nik Musa, 24.

Pelajar, Muhammad Amirun, 17, yang juga adik Mohd Faisal cedera dalam kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Machang Deputi Superintendan Dzulkifli Ab Ghani berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Kelisa dipandu Mohd Zariff dari arah Kuala Krai ke Kota Bharu terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

"Akibatnya, kenderaan itu bertembung dengan Perodua Viva dinaiki tiga beradik yang dipandu Muhammad Amin.

"Dua mangsa maut, pemandu Perodua Kelisa dan penumpang hadapan Perodua Viva.

“Mereka parah pula adalah pemandu dan penumpang kedua-dua kereta," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang manakala mangsa cedera turut dirawat di hospital sama.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2017 @ 9:33 AM