SARANG tebuan yang menyebabkan Nur Nazihah Mohd Sabri maut. FOTO Rosli Ilham
SARANG tebuan yang menyebabkan Nur Nazihah Mohd Sabri maut. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


KEMATIAN Nur Nazihah Mohd Sabri, 8, yang disengat tebuan semalam, merupakan kes kematian kedua yang berlaku terhadap kanak-kanak di Dungun.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kes pertama yang berlaku pada Ogos 2017, membabitkan kematian dua beradik.

"Dua kes (kematian) berlaku di Dungun, babitkan kematian tiga kanak-kanak. Kejadian sebelum ini dilaporkan berlaku pada 8 Ogos 2017 mengorbankan Iffah Darwisha Abdul Wahab, 3, dan kakaknya, Irdina Batrisyia, 8.

"Kedua-dua beradik itu diserang ratusan tebuan ketika sedang bermain di hadapan rumah mereka di Kampung Batu Tiong, jam 6.30 petang.

"Bagaimanapun, Iffah Darwisha disahkan meninggal dunia pada malam itu ketika diberi rawatan kecemasan di Hospital Dungun," katanya.

Katanya, manakala kakak mangsa, Irdina Batrisyia yang kritikal dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah HSNZ Kuala Terengganu pula meninggal dunia dua hari selepas itu.

"Selain kes kematian dua beradik terbabit, kes sengatan tebuan itu juga turut mengorbankan seorang mandor ladang Risda, Mohd Taufik Jusoh, 26.

"Kejadian itu berlaku pada Mei 2011 ketika mangsa menunggang motosikal diserang tebuan ketika dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Ladang Risda Kampung Sedang, jam 8.30 pagi," katanya.

Baharudin berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Batu 48 itu disengat di kepala dan badan sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun dan meninggal dua jam kemudian.

Menurutnya, umum menyedari bahaya serangan tebuan dan kerjasama semua pihak amat penting bagi mengelak kejadian sama berulang.

"Kita pohon kerjasama ibu bapa mengambil perhatian serius dengan mengawasi anak-anak mereka setiap masa.

"Lebih baik sekiranya kita sentiasa membuat pemeriksaan persekitaran kediaman dan kawasan semak berhampiran rumah dan segera lapor kepada pihak berkuasa sekiranya terjumpa dengan sarang tebuan," katanya.

Berita berkaitan

Bomba musnah sarang tebuan ragut nyawa Nur Nazihah

Sakit sangat ayah, kakak tak tahan... [METROTV]

Kanak-kanak maut disengat tebuan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 2:33 PM