BEBERAPA orang pemaju dan anggota keselamatan meninjau kawasan tanah runtuh di Apartment Teratai, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung. FOTO Sairien Nafis
BEBERAPA orang pemaju dan anggota keselamatan meninjau kawasan tanah runtuh di Apartment Teratai, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung. FOTO Sairien Nafis
Oleh Aizat Sharif


Hulu Selangor: Kerajaan Selangor menarik balik keputusan membenarkan penduduk kawasan Blok K Pangsapuri Teratai, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung untuk kembali ke kediaman masing-masing setelah didapati terdapat pergerakan tanah yang minima berhampiran blok itu sebentar tadi.

Menteri Besar, Muhamed Azmin Ali memberitahu pada peringkat awal iaitu pada awal pagi tadi, keadaan tanah berhampiran Blok K itu sudah stabil namun disebabkan perubahan cuaca, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesan berlakunya pergerakan tanah yang minima menuju ke arah Blok K.

"Kita belum boleh membenarkan penduduk yang terjejas kembali ke kediaman mereka. Oleh hal demikian, kita dan JKR sudah mengambil langkah untuk menarik balik keputusan awal kerana apa yang penting adalah keselamatan penduduk terjamin sepenuhnya," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke lokasi tanah runtuh.

Tambahnya, penduduk di dua blok bangunan yang terjejas itu mungkin terpaksa tinggal di pusat pemindahan itu antara dua hingga tiga hari lagi sementara menantikan langkah keselamatan dilaksanakan.

"Pemantauan dan langkah keselamatan akan dilakukan dalam tempoh tiga hari hingga seminggu oleh agensi terlibat dan mereka akan membawa beberapa bongkah blok konkrit sebagai penahan tebing daripada runtuh," katanya.

Kerajaan negeri turut bersetuju untuk memberikan bantuan RM300 kepada 158 keluarga yang berada di pusat pemindahan bencana sekitar Taman Bunga Raya.

Muhamed Azmin memberitahu pergerakan tanah di kawasan itu dikesan pertama kali berlaku pada 2009 dan pihak pemaju, MK Land sudah membina tembok penahan bagi mengelakkan daripada berlakunya sebarang kejadian tanah runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 4:45 PM