PASUKAN khas akan sentiasa membuat pemantauan di kawasan berisiko bagi memastikan kejadian tanah runtuh seperti yang berlaku di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa tidak berulang. FOTO Fathil Asri
PASUKAN khas akan sentiasa membuat pemantauan di kawasan berisiko bagi memastikan kejadian tanah runtuh seperti yang berlaku di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa tidak berulang. FOTO Fathil Asri
Roselan Ab Malek


KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menubuhkan satu pasukan khas yang terdiri dari pelbagai agensi untuk memantau kawasan perumahan yang terletak di cerun bukit bagi memastikan kejadian tanah runtuh tidak berlaku.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata, jawatankuasa pasukan khas itu terdiri dari pelbagai termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Beliau berkata, pasukan khas itu akan sentiasa membuat pemantauan di kawasan berisiko bagi memastikan kejadian tanah runtuh seperti yang berlaku di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa tidak berulang.

Katanya, selain itu KPKT turut membuat pemantauan di flat lama bagi memastikan ia selamat diduduki dan mengambil tindakan sewajarnya jika ia berbahaya kepada penghuni.

Mengulas mengenai kejadian tanah runtuh di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa, beliau berkata, seramai 40 penghuni di tujuh rumah terbabit diarah meninggalkan kediaman masing-masing kerana bimbang keselamatan mereka terjejas.

"Mereka tidak dibenarkan berada di kediaman masing masing sehingga pihak berkuasa tempatan memutuskan tindakan seterusnya.

"Kementerian turut meluluskan peruntukkan RM2 juta bagi membina tembok penahan di kawasan tanah runtuh itu serta kerja menambah baik sistem aliran anak sungai yang terletak di belakang kediaman penduduk yang akan dimulakan secepat mungkin," katanya.

Dr Ismail berkata dalam masa yang sama, JBPM akan membuat pemantauan berkala bagi meninjau perkembangan semasa di kawasan berkenaan.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan tapak cadangan membina Balai Bomba dan Penyelamat baru di pekan Chenor, Maran.

DR Ismail ( dua dari kanan) membuat lawatan tapak cadangan  membina sebuah Balai Bomba dan Penyelamat  baharu di pekan Chenor. FOTO  Roselan Ab Malek
DR Ismail ( dua dari kanan) membuat lawatan tapak cadangan membina sebuah Balai Bomba dan Penyelamat baharu di pekan Chenor. FOTO Roselan Ab Malek

Katanya, balai bomba baru itu akan memberi satu lagi kemudahan dan keperluan semasa kepada masyarakat setempat di pekan Chenor.

"Pada masa ini kemudahan balai bomba sedia ada terletak agak jauh dan jika berlaku kebakaran agak sukar untuk dikawal dengan cepat," katanya/

Tambahnya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran terletak 30 kilometer (km) dan BBP Temerloh pula terletak 17 km dari pekan Chenor.

"Cadangan BBP Chenor bernilai RM4 juta akan dilengkapi dengan pejabat pentadbiran, ruang jentera, padang kawad, menara kawad dan stor logistik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Jun 2020 @ 1:09 PM