MOHD Haniff bersama kakitangan kedutaan bergambar sempena Aidilfitri. FOTO Ihsan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah.
MOHD Haniff bersama kakitangan kedutaan bergambar sempena Aidilfitri. FOTO Ihsan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah.
Yusmizal Dolah Aling


“TIPULAH kalau tak rindu”. Itu reaksi rakyat Malaysia di Mesir yang menyambut Aidilfitri bersama keluarga besar di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dalam suasana meriah meskipun berjauhan daripada sanak saudara.

Perasaan itu terubat apabila sambutan yang diadakan di Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK), sama seperti di kampung halaman apabila pegawai di kedutaan, penuntut dan rakyat Malaysia berkumpul untuk menyambut Aidilfitri.

Bagi Setiausaha Kedua (Pendidikan) Education Malaysia Egypt (EME), Rafidi Zainol, panggilan video ke tanah air mengubat perasaan rindu kerana dia beraya kali pertama di negara berkenaan kerana bertugas.

Katanya, pada pagi Aidilfitri, dia menelefon ibu dan bapanya di Perlis untuk mengucapkan selamat hari raya, pada masa sama kunjungan penuntut di sana menghilangkan rasa rindu kepada sanak saudara dan kenalan di Malaysia.

“Sambutan di sini sebenarnya biasa saja bagi masyarakat tempatan kerana mereka lebih meraikan Ramadan, tetapi bagi rakyat kita, dapat berkumpul beramai-ramai memang saat dinantikan.

“Di situlah kita dapat merasai suasana berhari raya sama seperti kampung sendiri,” katanya kepada Harian Metro.

Penuntut, Muhammad Iqbal Daswarman, 22, berkata, dia teruja mencuba hidangan tempatan seperti halwa, manisan dan biskut tempatan biarpun mengakui ia tidak sama nikmatnya dengan lemang atau ketupat yang sinonim dengan Aidilfitri.

Katanya, rakan lain yang menyertai rumah terbuka di KBMK juga akan menyediakan sendiri juadah seperti nasi himpit, kuah kacang dan kuih muih untuk dijamu pada tetamu sebelum berkunjung ke rumah sahabat handai yang terletak berdekatan.

Sementara itu Duta Besar Malaysia ke Mesir Mohd Haniff Abdul Rahman berkata, seramai 2,500 orang menghadiri sambutan di DMAK yang diadakan setiap tahun untuk menyambut lebaran bersama rakyat Malaysia di sana.

“Menerusi sambutan itu, warga Malaysia di Mesir dapat menyambut Aidilfitri dalam suasana kekeluargaan selain bertanya khabar antara satu sama lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Jun 2019 @ 7:05 PM