KAMARUDDIN (tiga dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian mahasiswa yang diraikan pada majlis Aidilfitri di UniMAP, Arau. - FOTO ihsan UniMAP
KAMARUDDIN (tiga dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian mahasiswa yang diraikan pada majlis Aidilfitri di UniMAP, Arau. - FOTO ihsan UniMAP
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


KETIKA insan lain gembira meraikan Aidilfitri di kampung halaman, masih ada golongan kurang berkemampuan terpaksa meraikan 1 Syawal jauh daripada keluarga tercinta termasuk menyambutnya hanya di kampus.

Bagi mengubati kerinduan terhadap kampung halaman, seramai 150 mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Arau diraikan dalam majlis Aidilfitri di Kolej Kediaman Tuanku Fauziah.

Mahasiswa Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan, Adawiyah Ali, 23 berkata, dia sedih tidak dapat berhari raya bersama keluarga di Kota Marudu, Sabah pada tahun ini atas faktor peperiksaan selain kekangan kewangan untuk membeli tiket penerbangan.

“Saya masih menduduki peperiksaan akhir semester termasuk empat kertas peperiksaan akhir selepas Aidilfitri.

“Jadi, selain kekangan kewangan, saya perlu fokus dan memberikan sepenuh perhatian kepada peperiksaan menyebabkan tidak dapat pulang berhari raya di kampung di Sabah.

“Memang sedih apabila di saat orang lain gembira bersama keluarga, kami masih di kampus. Bagaimanapun, perasaan itu sedikit terubat apabila ada majlis Aidilfitri anjuran pengurusan kolej,” katanya.

Mahasiswa Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekatronik, Md Ashequl Islam, 21, dari Dhaka, Bangladesh berkata, penganjuran majlis berkenaan satu rahmat baginya apabila terpaksa meraikan 1 Syawal di bumi asing.

“Ini tahun kedua saya menyambut Aidilfitri di kampus dan bersyukur masih ada yang mengingati, sebelum ini saya menyambutnya bersama abang di Kuala Lumpur.

“Namun, atas faktor tertentu, saya tidak ke ibu kota mahupun pulang ke kampung di Bangladesh dan hanya mampu menghubungi keluarga menerusi panggilan video,” katanya.

Terdahulu, Naib Canselor UniMAP, Prof Dr Badlishah Ahmad ketika berucap pada majlis sambutan itu memberikan kata-kata semangat kepada mahasiswa yang tidak dapat pulang berhari raya di kampung halaman.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP, Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin dan isteri; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof Dr Mohd Foad Sakdan serta Dekan HEPA, Dr Muzammil Jusoh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 11:21 AM