PELAJAR, Muhamad Isma meraikan perayaan Aidilfiti bersama rakan-rakan di luar negara.
PELAJAR, Muhamad Isma meraikan perayaan Aidilfiti bersama rakan-rakan di luar negara.
Noor Nabilah Ibrahim

Di saat kita meraikan Syawal bersama keluarga tercinta, ada pelajar yang terpaksa mengorbankan sambutan itu apabila memilih untuk kekal berada di kampus saja.

Bagi pelajar yang tidak berkesempatan pulang ke kampung halaman, Aidilfitri disambut secara sederhana dan tersendiri tanpa kehadiran keluarga tercinta.

Pelajar, Muhamad Isma Haqeem Saiful Azmi, 21, berkata, beliau dan rakan-rakan membuat majlis rumah terbuka 'potluck style' pada hari pertama Aidilfitri tahun ini.

"Kami membawa juadah raya seperti lemang, rendang dan ketupat dari rumah masing-masing dan kemudian makan bersama-sama bagi menghidupkan suasana raya.

Muhamad Isma yang sedang menyambung pengajian di University College London, United Kingdom berkata, beliau berasa kecewa kerana tidak dapat menyambut perayaan Aidilfitri dengan keluarga.

Beliau tidak berkesempatan balik kerana terdapat peperiksaan pada hari raya kedua, jadi beliau hanya sambut raya dengan keluarga secara dalam talian menggunakan aplikasi 'Facetime.'

"Dua tahun sebelum ini juga saya tidak menyambut raya bersama keluarga kerana perlu membuat persiapan untuk menduduki peperiksaan, keluarga berasa sangat sedih pada mulanya, namun selepas beberapa tahun, keluarga sudah mula terima," katanya.

SUASANA menyambut perayaan Aidilfitri di London, United Kingdom.
SUASANA menyambut perayaan Aidilfitri di London, United Kingdom.

Bagaimanapun katanya, beliau tetap berasa teruja dapat menyambut perayaan Aidilfitri di luar negara buat kali pertama.

"Komuniti Malaysia di sini sangat ramah, saya dan rakan-rakan akan berkumpul di Kedutaan Malaysia pada hari raya pertama bagi meraikan perayaan Aidilfitri," katanya

Bagaimanapun beliau berharap dapat menyambut perayaan Aidilfitri bersama keluarga di Malaysia pada masa akan datang tanpa sebarang halangan.

Lonjakan harga tiket menjelang lebaran tahun ini menjadi salah satu faktor utama pelajar tidak dapat pulang meraikan raya bersama keluarga.

PELAJAR berbuka puasa bersama.
PELAJAR berbuka puasa bersama.

Pelajar dari Sabah, Aniar Rashid, 21, berkata, ramai pelajar di Semenanjung tidak dapat balik ke Sabah kerana harga tiket hampir mencecah sebanyak RM1,000.

"Sesetengah pelajar mengalami masalah kewangan dan situasi itu menyukarkan kami pulang ke Sabah pada masa sekarang," katanya.

Dalam pada itu, Aniar yang sedang menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM) turut mengakui beliau dan keluarga berasa sedih kerana tidak dapat menyambut perayaan Aidilfitri bersama-sama pada tahun ini.

"Walaupun saya dapat menyambut lebaran bersama rakan-rakan lain namun hakikatnya rasa seronok itu kurang kerana ini kali pertama saya berjauhan dengan keluarga pada Aidilfitri tahun ini," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2023 @ 7:01 AM