SUAMI isteri warga emas yang tinggal di pondok di Jalan Damai, sejak empat tahun lalu. FOTO Abdul Rahemang Taiming
SUAMI isteri warga emas yang tinggal di pondok di Jalan Damai, sejak empat tahun lalu. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Abdul Rahemang Taiming


"JIKA diberi pilihan, biar kami habiskan sisa usia di pondok usang ini. Kami tidak mahu susahkan orang lain," kata Jurrah Abdul Halim, 62, yang berkongsi 'istana' dengan suami, Amil Bala, 70-an, di kawasan pembuangan sampah di Jalan Damai dekat Tawau, sejak empat tahun lalu.

Lebih menyedihkan, istana berkenaan dibina dengan menggunakan kayu dan papan lapis terbuang selain beratapkan zink yang sudah bocor.

Lokasinya pula terletak di sebalik rimbunan semak dan pokok pisang.

Pasangan itu yang tabah melalui kehidupan dalam serba kekurangan dan daif selain tidak mempunyai punca pendapatan hanya mengharapkan ihsan orang ramai demi kelangsungan hidup.

Jurrah berkata, pondok dibina mereka juga atas ihsan dan kebenaran pemilik tanah selepas mereka terpaksa keluar dari rumah sewa kerana tidak mampu membayar sewa.

"Sebelum ini, pada 2000, suami bekerja di ladang kelapa sawit di Lahad Datu namun terpaksa berhenti kerana masalah kesihatan selain asma.

"Sejak itu, kami berpindah randah sehinggalah kami sampai di sini pada Jun 2016," katanya ditemui di pondoknya hari ini.

Walaupun terpaksa menempuh situasi sukar, namun pasangan berkenaan yang tidak dikurniakan zuriat itu mengakui selesa tinggal di pondok yang hanya menunggu masa untuk roboh itu.

"Kami mahu habiskan sisa hidup di sini, kami tidak mahu susahkan sesiapa," katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Mei 2020 @ 4:56 PM