AHMAD Samsuri (atas kanan) meraikan sambutan Hari Guru peringkat negeri Terengganu secara maya hari ini. FOTO IHSAN JPNT
AHMAD Samsuri (atas kanan) meraikan sambutan Hari Guru peringkat negeri Terengganu secara maya hari ini. FOTO IHSAN JPNT
Malik Muhamad

WALAUPUN berlangsung secara maya, sambutan Hari Guru Peringkat Terengganu Kali Ke-49 hari ini tetap meriah dengan jumlah tontonan lebih 2,500 peserta.

Lebih membanggakan sambutan yang diadakan dalam situasi normal baharu itu dirasmikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Dr Ahmad Samsuri berkata, dengan tema 'Berguru Demi Ilmu Bina Generasi Baharu' dalam suasana baharu yang unik dan berbeza daripada kebiasaan, beliau yakin mampu mengangkat semangat guru untuk terus menggalas tugas bagi mencurahkan ilmu dengan penuh keikhlasan sekali gus membentuk ketulenan generasi terbilang pada masa depan.

"Cabaran semasa dan mendatang bukan kepalang, emosi para guru dan murid sentiasa tercabar, namun tanggungjawab perlu dilaksanakan dan segala cabaran perlu diharungi.

"Walaupun Hari guru disambut dalam suasana yang berbeza dengan sekolah sunyi tanpa bicara guru dan gelagat anak muridnya, tetapi inilah cabaran semasa pada saat pandemik Covid-19 melanda seluruh dunia yang menjadi catatan penting sejarah dunia.

"Kreativiti semua pihak amat dinantikan bagi memastikan rasional pembelajaran tidak terganggu, dalam masa sama saya pasti guru dan murid merindui untuk kembali ke sekolah," ujarnya yang sempat menyampaikan sajak nukilan anak Terengganu, Allahyarham JM Aziz yang bertajuk Bunga Sirih Untuk Guru.

Turut serta dalam majlis itu Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Satiful Bahari Mamat dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Salim Ab Ghani.

Sementara itu, Salim berkata, walaupun sambutan mengikut normal baharu, JPNT tetap meraikan hari yang bersejarah sebagai satu pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan guru dalam mendidik anak bangsa dan memacu kemajuan pendidikan di negara ini.

"Guru perlu memastikan diri mereka dilengkapi dengan kemahiran pedagogi bersifat holistik, meneroka penggunaan model pembelajaran pelbagai mod yang memanfaatkan teknologi supaya dapat mencungkil kemahiran berfikir aras tinggi serta mengukuhkan pembelajaran murid," katanya.

Dalam majlis itu, Tokoh Guru Terengganu 2020 dinobatkan kepada bekas pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Omar di Dungun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 5:38 PM