PELANCARAN portal e-learning Terengganu. FOTO Youtube
PELANCARAN portal e-learning Terengganu. FOTO Youtube
Malik Muhamad


BAGI menyemarakkan inisiatif pembelajaran di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mewujudkan portal e-learning Terengganu untuk dimanfaatkan guru dan pelajar di negeri itu.

Majlis pelancaran penggunaan portal itu disempurnakan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani semalam yang disiarkan secara langsung menerusi saluran Youtube.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembelajaran JPNT, Azman Othman berkata, pembinaan portal ini adalah naratif baharu pendidikan sebagaimana saranan Kerajaan Persekutuan yang mahukan pembelajaran perlu terus diperkasa walaupun dalam tempoh PKP.

"Portal ini bukan sahaja menempatkan bahan yang dibangunkan oleh guru berpengalaman tetapi turut menerima sumbangan bahan pembelajaran daripada pendidik dari dalam serta luar Terengganu.

"Apa yang penting, kita ingin memberi sokongan kepada guru untuk melaksanakan pembelajaran di rumah supaya pelajar tidak ketinggalan dalam pelajaran dan boleh belajar dalam suasana yang selamat serta selesa dengan bantuan ibu bapa mereka," katanya, semalam.

Pengisian portal itu mengandungi bahan pembelajaran untuk subjek utama sekolah rendah serta sekolah menengah, termasuk intervensi pembelajaran (MIP) untuk murid Tahun Enam dan pelajar Tingkatan Lima.

Sementara itu, Salim berkata, bagi pelajar yang tidak mempunyai capaian internet ataupun kelajuan capaiannya kurang, pihaknya akan menghantar bahan pembelajaran ke pondok pengawal keselamatan di sekolah sebelum diambil ibu bapa dan penjaga mereka.

"Inilah cabaran baharu yang perlu ditempuhi guru, ibu bapa dan juga pelajar," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2020 @ 11:21 AM