PEGAWAI PPD Kuala Terengganu, Jelani Sulong. FOTO ihsan PPDKT
PEGAWAI PPD Kuala Terengganu, Jelani Sulong. FOTO ihsan PPDKT
Malik Muhamad


BAGI memperkasakan inisiatif pembelajaran di rumah atau ‘home based learning’ dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Terengganu (PPDKT) mengambil langkah mewujudkan pelantar pembelajaran digital sekolah rendah dan menengah secara dalam talian.

Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Jelani Sulong berkata, matlamat utama pelantar itu adalah memudahkan lagi proses pembelajaran di rumah secara interaktif daripada pelbagai sumber.

Beliau berkata, pada masa sama, ia menyokong bahan pembelajaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan mengintergrasikan pelbagai teknologi dalam inovasi pembelajaran berdasarkan keperluan semasa.

“Tempoh PKP mengubah cara pengurusan sekolah dan pembelajaran murid secara dalam talian bagi memastikan anak selamat selain sentiasa belajar walaupun berada di rumah dengan pemantauan guru dan tunjuk ajar ibu bapa mereka.

“Inisiatif ini sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selain menyahut cabaran Menteri Pendidikan, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani yang mahukan pembelajaran terus dilaksanakan seperti biasa walaupun melalui kaedah dalam talian.

“Bersesuaian dengan ‘tagline’ PPDKT sebagai ‘Peneraju Kecemerlangan Pendidikan’, kami melaksanakan gerakan pembelajaran di setiap sekolah melalui pengetua dan guru besar yang menjadi rujukan kepada guru sebelum mereka bersemuka dengan murid bagi mempraktikkan pembelajaran dalam talian secara intensif,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan pembelajaran itu dapat dilaksanakan dengan berkesan, peranan tenaga kerja sedia ada serta pemikiran hebat Sektor Pembelajaran, Pembimbing Pakar Pedagogi (SISC+), Pembimbing Pengurusan Sekolah (SIP+), Unit Sumber Teknologi Pendidikan (USTP) dan guru cemerlang sangat membantu.

Menurutnya, selain itu gaya kerja PPDKT dan pengurusan 76 sekolah turut berbeza apabila melaksanakan fungsi mesyuarat, dialog prestasi, pemantauan dan kepimpinan menggunakan kaedah dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 April 2020 @ 2:53 PM