SALIM Abd Ghani ketika melakukan tinjauan hari pertama pembukaan sekolah untuk tahun lima dan enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, pagi ini. FOTO Baharom Bakar
SALIM Abd Ghani ketika melakukan tinjauan hari pertama pembukaan sekolah untuk tahun lima dan enam di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, pagi ini. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


SERAMAI 1,098 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman, Kuala Terengganu termasuk tahun lima dan enam yang kembali ke sekolah hari ini, kelihatan bersemangat untuk mengikuti pembelajaran secara bersemuka dengan guru dalam bilik darjah.

Selepas lebih tiga bulan mengulangkaji pelajaran secara dalam talian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac lalu, keceriaan terbayang pada wajah mereka pada hari pertama pembukaan sekolah untuk tahun lima dan enam, hari ini.

Tinjauan mendapati, mereka ceria ketika menjalani pemeriksaan suhu badan dan mencuci tangan menggunakan pensanitasi tangan disediakan pengurusan sekolah.

Murid tahun lima, Fatin Najwa Wan Shamsuri Nizam berkata, walaupun bakal mengikuti pembelajaran secara normal baharu di dalam kelas, kaedah itu lebih baik jika dibandingkan mengikuti melalui dalam talian.

"Saya sudah bersedia sepenuhnya dan tidak bersabar untuk mengikuti pembelajaran secara bersemuka dengan guru di dalam kelas semula.

"Maklumlah, sudah lebih tiga bulan ikuti pembelajaran dalam talian dan ia tidak sama," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Salim Abd Ghani berkata, seramai 41,882 murid tahun lima dan enam daripada 352 sekolah kebangsaan memulakan sesi persekolahan, hari ini.

Beliau berkata, setiap murid diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dibenarkan ke kelas sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kami berpuas hati dengan SOP dikendalikan pengurusan sekolah termasuk melakukan pemeriksaan suhu badan dan penjarakan sosial di setiap kelas.

"Ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai anak mereka ketika berada di sekolah, kami akan pastikan SOP ditetapkan KKM sentiasa diikuti pengurusan sekolah dan kami minta ibu bapa memainkan peranan utama ketika mereka berada di rumah," katanya ketika melakukan pemantauan di SK Seri Budiman, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 2:49 PM