GAMBAR hiasan. FOTO Malik Muhamad
GAMBAR hiasan. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


JABATAN Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) melancarkan kempen ‘Anak Ganu Baca’ Program Nilam di Rumah dengan ‘tagline’ #dudukdumohbbaca, hari ini.

Pelancaran bersejarah secara maya itu disempurnakan Pengarah JPNT, Salim Ab Ghani dengan fokus utama program untuk memupuk semangat membaca dalam kalangan murid di negeri ini.

“Besar harapan saya agar kempen membaca ini sempena Bulan Membaca pada April dapat menyuntik semangat anak Terengganu dengan menjadikan amalan membaca ini sebagai rutin harian dan budaya walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Justeru bagi menjayakan kempen membaca ini, peranan aktif ibu bapa dan penjaga serta murid dituntut bagi memastikan aktiviti sihat ini mencapai sasarannya walaupun hanya berada di kediaman masing-masing,” katanya.

Program inisiatif Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan (SSTP) JPNT itu bertujuan memberi peluang kepada murid untuk mengisi masa sepanjang tempoh PKP dengan aktiviti berfaedah dan bermaklumat.

Ketua Penolong Pengarah SSTP, Wan Mohd Zuhaidi Wan Hassan berkata, program Nilam di rumah itu julung kali diadakan bagi memastikan murid dapat mengurus masa dengan bijak ketika tempoh PKP susulan penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, murid boleh membaca pelbagai bahan bacaan termasuk pembacaan atas talian di persekitaran rumah mereka sebagai sumber bacaan ilmiah.

“Program Nilam atau Nadi Ilmu Amalan Membaca adalah program galakan membaca dilaksanakan Kementerian Pendidikan Malaysia sejak 1999 dengan kebiasaannya aktiviti dirancang di peringkat sekolah oleh guru penyelaras Nilam.

“Selain kempen ‘Anak Ganu Baca’ ini, pelbagai program pembelajaran atas talian disediakan termasuk melalui Pelantar Pembelajaran Digital KPM, pembinaan bahan berasaskan ‘cloud’ serta penggunaan media sosial oleh guru serta murid di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 2:55 PM