KETUA Pegawai Eksekutif PPZ MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman, (tengah) menunjukkan cara pembayaran Zakat Fitrah menggunakan ATM kad melalui sistem Fasstap, turut sama Darrell Neo, (kiri) dan Johan Zep Md Yusof, (Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaan bagi Sektor Kerajaan dan Awam, Fasspay) di Majlis Pelancaran Ujian Rintis Pembayaran Zakat di Wisma PPZ. FOTO Fathil Asri
KETUA Pegawai Eksekutif PPZ MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman, (tengah) menunjukkan cara pembayaran Zakat Fitrah menggunakan ATM kad melalui sistem Fasstap, turut sama Darrell Neo, (kiri) dan Johan Zep Md Yusof, (Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaan bagi Sektor Kerajaan dan Awam, Fasspay) di Majlis Pelancaran Ujian Rintis Pembayaran Zakat di Wisma PPZ. FOTO Fathil Asri
Suraya Roslan


Cheras: Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ- Maiwp) menjadi institusi zakat pertama di dunia melancarkan pembayaran zakat menggunakan teknologi 'sentuh pada telefon'.

Teknologi itu membolehkan peranti Android dengan kapasiti Komunikasi Medan Dekat (NFC) untuk menerima pembayaran secara selamat dan mudah.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-Maiwp, Abdul Hakim Amir Osman berkata, pihaknya melancarkan ujian rintis itu bagi membolehkan pungutan zakat fitrah ditunaikan menerusi sistem Fasstap atau Sistem Titik Jualan berasaskan Perisian.

"Usahasama dengan Fass Payment Solutions Sdn Bhd (Fasspay) ini menjadikan kita antara institusi zakat pertama di dunia menggunakan aplikasi sentuh pada telefon.

"Ujian rintis ini adalah satu pencapaian membanggakan yang membolehkan penerimaan bayaran menggunakan kad secara sentuh pada telefon menerusi Fasstap, mereka yang ingin membayar zakat boleh menggunakan kad pengeluaran wang automatiknya (ATM) MyDebit.

"Sejajar dengan perkembangan masyarakat masa kini yang memilih penyelesaian tanpa tunai dalam pekerjaan harian, kami yakin sistem ini akan menawarkan pilihan yang lebih bermanfaat khususnya bagi keluarga yang mempunyai tanggungan yang ramai di samping menggalakkan generasi muda tanpa tunai untuk menyempurnakan kewajipan sebagai umat Islam," katanya.

Beliau ditemui dalam Majlis Pelancaran Ujian Rintis Pembayaran Zakat Sentuh Pada Telefon di Wisma PPZ di sini, tadi.

Menurutnya, sepanjang Ramadan tahun ini, PPZ-Maiwp mensasarkan pungutan zakat fitrah berjumlah RM13.8 juta.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaan Sektor Kerajaan dan Awam Fasspay, Johan Zep Md Yusof berkata, ujian rintis itu dilaksanakan supaya pihaknya dapat mendalami keperluan khusus PPZ-Maiwp sekaligus dapat menerokai fungsi Fasstap untuk pengalaman membayar zakat yang lancar, mudah dan selamat.

"Usahasama ini sejajar dengan aspirasi strategik kami iaitu menyokong seruan kerajaan untuk memacu transformasi Malaysia kepada masyarakat tanpa tunai.

"Fasstap kini rancak digunakan bagi menguasakan komuniti usahawan kecil dan sederhana termasuklah usahawan mikro menerusi penyelesaian perniagaan yang cekap dari aspek kos dan mobiliti.

"Aplikasi ini juga membolehkan usahawan kecil-kecilan termasuk yang menjalankan perniagaan dari rumah untuk menyalurkan pendapatan mereka terus ke akaun bank peribadi masing-masing," katanya.

Ujian rintis di tiga lokasi terpilih ditempatkan di Ibu Pejabat PPZ-Maiwp, Masjid Al-Syakirin KLCC dan Jalan Masjid India.

Lokasi itu dipilih atas faktor bilangan pengunjung celik teknologi yang mencari kemudahan lain dalam menyempurnakan pembayaran zakat.

Tahun ini, PPZ-Maiwp melantik 921 amil di seluruh Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya dan Labuan.

Selain di 10 kaunter PPZ-MAIWP, setiap amil ditugaskan di lokasi awam seperti masjid, pejabat, gedung beli-belah dan stesen pengangkutan awam untuk mendekati lebih ramai umat Islam yang ingin membayar zakat fitrah.

Lanjutan daripada ujian rintis ini, PPZ-MAIWP menjangkakan pelancaran Fasstap versi penuh untuk memudahkan pembayaran zakat harta seperti zakat pendapatan, zakat emas, zakat simpanan dan lain-lain.

Fasspay juga akan membangunkan ekosistem yang lebih mesra zakat bagi membolehkan butiran penting pembayar zakat direkodkan sepenuhnya sebelum resit rasmi zakat dicetak secara digital sebelum dihantar menerusi emel bagi tujuan rekod dan pengecualian cukai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 4:04 PM