Gambar hiasan
Gambar hiasan
Rafiqah Dahali


KERAJAAN Sabah memutuskan untuk membenarkan sektor pembinaan dan penyelenggaraan, serta perhutanan dan agensi di bawahnya beroperasi mulai semalam.

Ketua Menterinya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kebenaran pengoperasian semula itu tertakluk prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan dan pihak industri perlu patuh syarat ditetapkan.

Katanya, sektor pembinaan akan membabitkan kerja pembinaan bangunan, infrastruktur, kemudahan awam dan landskap, manakala penyelenggaraan meliputi pembaikan dan pemuliharaan infrastruktur, bangunan, kemudahan awam, landskap, pemotongan rumput, loji, janakuasa, pembersihan fasiliti, pembentungan, saluran paip air, pengairan dan saliran.

"Perkhidmatan sokongan kepada sektor itu yang dibenarkan adalah aktiviti kuari batu dan pasir, kilang simen dan klinker, pemotongan bukit dan penimbusan tanah, kedai alat perkakas selain pengangkutan bahan binaan.

"Dengan kelulusan ini, kebenaran beroperasi secara bersyarat sebelum ini ditarik balik dan terbatal," katanya dalam kenyataan.

Mohd Shafie berkata, sektor perhutanan dibenarkan membabitkan aktiviti huluan dan hiliran serta khidmat sokongan seperti logistik pengangkutan darat dan laut, gudang, peruncitan domestik serta import dan eksport.

Beliau juga mengingatkan semua pihak terbabit dengan sektor berkenaan perlu mematuhi SOP kesihatan dan bebas Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2020 @ 8:41 AM