ANTARA landskap menarik.
ANTARA landskap menarik.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


HALAMAN rumah menjadi lebih menarik dan eksklusif apabila dilengkapi dengan latar landskap indah.

Selain berfungsi sebagai hiasan halaman, landskap juga mempunyai kuasa sebagai terapi tekanan.

Antara konsep terkini landskap halaman rumah ialah ruang luaran hijau yang bercirikan mampan, berdaya tahan dan menarik dari segi nilai estetikanya.

Konsep itu menjadi pilihan kerana sudah timbul kesedaran mengenai kepentingan alam sekitar dan pendekatan yang lebih bersifat penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

Pensyarah Fakulti Seni Reka dan Seni Bina Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Shureen Faris Abd Shukor berkata, ciri-ciri pada konsep terkini landskap yang menjadi pilihan masyarakat antaranya adalah penggunaan 'native plants.'

"Ia adalah tumbuhan asal dari kawasan setempat kerana tumbuhan sebegini lebih lasak dan memerlukan penjagaan minimum. Contohnya tanaman yang mempunyai ciri ubat-ubatan.

"Satu lagi ciri-ciri ialah penggunaan spesies tumbuhan hutan yang boleh menarik burung dan bertindak sebagai agen terapi ('forest bathing')," katanya.

Menurutnya, terdapat perbezaan ketara di antara konsep lama dengan terkini landskap.

DR Shureen Faris
DR Shureen Faris

"Pendekatan penyelesaian berasaskan alam semula jadi ini dilihat dapat membantu menjadikan penyelesaian dalam memupuk ekosistem biodiversiti yang mampu menarik fauna untuk kembali ke kawasan bandar.

"Ia juga dilihat dapat mengurangkan masalah banjir terutamanya di kawasan bandar yang padat.

"Selain itu mengurangkan kesan kepulauan haba iaitu kawasan perbandaran yang mengalami suhu lebih tinggi daripada kawasan kurang pembangunan.

"Struktur seperti bangunan, jalan raya dan infrastruktur lain menyerap serta memancarkan semula haba matahari melebihi daripada landskap semula jadi seperti hutan dan kawasan air," katanya.

SUASANA hijau sekitar rumah sesuai jadi landskap, bersifat penyelesaian berasaskan alam semula jadi.
SUASANA hijau sekitar rumah sesuai jadi landskap, bersifat penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

Menyentuh mengenai kewajaran mengeluarkan perbelanjaan besar, semata-mata mahu membina landskap mengikut konsep terkini Dr Shureen Faris berkata, beberapa perkara perlu dipertimbangkan sebelum tindakan itu dilakukan.

Jelasnya perkara pertama ialah anda itu perlu memikirkan kesan jangka panjang dalam perancangan landskap.

"Perkara kedua adalah faedah pembangunan mampan bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup untuk semua dan berdasarkan pemahaman bahawa isu alam sekitar, ekonomi dan sosial saling berkait.

"Dari segi ekonomi, amalan mampan boleh mewujudkan persekitaran yang lebih sihat, selamat dan lebih produktif," katanya.

LANDSKAP pada ruang kecil rumah.
LANDSKAP pada ruang kecil rumah.

Menurutnya, perkara ketiga adalah biodiversiti memainkan peranan penting dalam pencapaian 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Tanpanya kita tidak akan mempunyai makanan untuk dimakan atau air bersih untuk diminum.

"Perkara seterusnya ialah biodiversiti yang mengurangkan perubahan iklim, menyokong kesihatan manusia dan menyediakan pekerjaan.

"Bersama-sama biodiversiti dan ekosistem yang sihat dapat meningkatkan daya tahan.

CONTOH landskap yang mempunyai ciri-ciri kelestarian dalam projek paya bakau di Klang.
CONTOH landskap yang mempunyai ciri-ciri kelestarian dalam projek paya bakau di Klang.

"Selain itu berfungsi sebagai penampan semula jadi terhadap kejadian cuaca ekstrem seperti kemarau, ribut dan bencana lain," katanya.

Katanya lagi, dalam keseronokan membina landskap di halaman rumah masih berlaku kesilapan tanpa mereka menyedarinya.

"Ia adalah penggunaan konsep landskap atau pemilihan tumbuhan yang menjadi ikutan terkini.

"Konsep akan sering berubah dan apabila ini berlaku, konsep sedia ada akan menjadi ketinggalan zaman dan perlu pembaharuan yang akan membabitkan kos," katanya.

Tambahnya, anda perlu memahami kehendak setiap ahli keluarga sebelum membuat keputusan dalam pemilihan konsep dan pembinaan ruang hijau. Ini supaya ruang landskap menjadi lebih praktikal dan berfungsi dengan maksimum.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 April 2024 @ 6:20 AM