ANTARA rokok putih yang cuba diseludup di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor. FOTO IHSAN JKDM
ANTARA rokok putih yang cuba diseludup di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor. FOTO IHSAN JKDM
Nurul Hidayah Bahaudin


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mematahkan cubaan sindiket menyeludup rokok putih di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang membabitkan sembilan juta batang rokok bernilai RM720,000 dengan jumlah cukai sebanyak RM5.7 juta, semalam.

Penolong Ketua Pengarah Kastam JKDM Zon Tengah Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, hasil maklumat dan risikan dilakukan, sepasukan pegawai penguatkuasa Zon Tengah Unit II (Selangor) membuat pemeriksaan terhadap sebuah kontena yang diikrar sebagai lapik lantai dan tuala mandi pada jam 12.30 tengah hari.

"Hasil pemeriksaan dilakukan menemui sejumlah rokok putih disembunyikan di sebalik guni berisi dagangan diikrar bagi mengaburi mata pihak JKDM.

"Modus operandi sindiket ini adalah meletakkan guni besar berisi lapik lantai di bahagian hadapan kontena supaya kotak berisi rokok putih yang diletakkan di bahagian belakang tidak dapat dikesan pihak berkuasa," katanya.

Zulkurnain berkata, rokok berkenaan diklasifikasikan sebagai dagangan terlarang mengikut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

"Pengimport dan ejen perkapalan yang terbabit dalam cubaan seludup rokok berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.

"Orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.

"Kami juga menyeru orang ramai untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol kastam, 1800888855 atau pejabat kastam berhampiran," katanya.

Keterangan gambar:

1. ANTARA rokok putih yang cuba diseludup di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, Selangor.

-tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 7:21 PM