ANTARA arak yang dirampas JKDM dalam beberapa siri serbuan di Pelabuhan Barat dan Utara. FOTO Ihsan JKDM
ANTARA arak yang dirampas JKDM dalam beberapa siri serbuan di Pelabuhan Barat dan Utara. FOTO Ihsan JKDM
Norzamira Che Noh


Pelabuhan Klang: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup tujuh kontena berisi rokok dan minuman keras yang dianggarkan bernilai lebih RM20 juta termasuk duti atau cukai dalam beberapa siri serbuan di Pelabuhan Barat dan Utara, dekat sini, pada Julai dan awal bulan ini.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, cubaan sindiket penyeludupan itu dipatahkan sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit II Selangor.

Katanya, serbuan pertama dijalankan pada 21 dan 23 Julai apabila tiga kontena berisi rokok putih serta minuman keras yang dianggarkan bernilai RM18.5 juta dirampas di Pelabuhan Utara.

"Dalam serbuan pada 2.50 dan 3 petang, 21 Julai lalu, JKDM merampas 20 juta batang rokok membabitkan nilai rampasan sebanyak RM1 juta dengan jumlah duti atau cukai sebanyak RM 13.3 juta dari dua kontena yang diikrarkan sebagai decorative items.

"Pada 23 Julai, sekitar 11.15 pagi, kami merampas 1.78 batang rokok serta 7,838 liter minuman keras dianggarkan bernilai RM1.88 juta dengan jumlah duti serta cukai berjumlah RM2.31 juta dari sebuah kontena yang diikrar sebagai 12 Reel of 1/5 Coated Artcard," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pada 30 Julai lalu, JKDM menahan dua kontena di Pelabuhan Utara yang diikrarkan sebagai limanate floors bagaimanapun hasil pemeriksaan mendapati kontena itu berisi pelbagai minuman keras yang dianggarkan bernilai RM467,712 manakala duti serta cukai dianggarkan berjumlah RM1.13 juta.

Katanya, pada 2 Ogos sekitar 11 pagi, sebuah kontena yang diikrar bermuatan stainless sink steel, dish rack, tools box ditahan di Pelabuhan Barat.

"Hasil pemeriksaan, kami mendapati kontena berkenaan berisi pelbagai jenis minuman keras yang dianggarkan bernilai RM60,000 dengan nilai duti serta cukai berjumlah RM367,680.

"Sekitar 2.30 petang hari yang sama, JKDM menahan sebuah lagi kontena di Pelabuhan Utara yang membawa minuman keras yang dianggarkan bernilai RM60,000 dengan nilai duti serta cukai berjumlah RM460,080.

"Kontena berkenaan diikrar membawa muatan toilet paper, household tools, exercise equipment," katanya.

Abdul Kadir berkata, rokok dan minuman keras diklasifikasi sebagai dagangan terlarang mengikut Butiran 1 dan 3 Jadual Ketiga / Bahagian II, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017.

Katanya, kesemua kes itu disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 5:55 PM