FOTO hiasan. FOTO NSTP
FOTO hiasan. FOTO NSTP
Baharom Bakar


PENGHANTAR makanan GanuShop tidak perlu mendapatkan suntikan anti typhoid untuk beroperasi sepanjang Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) negeri Ahmad Farhan Abdul Kadir mengesahkan, Jabatan Kesihatan negeri memutuskan, mereka boleh beroperasi tanpa mendapatkan suntikan vaksin.

Bagaimanapun, jelasnya, penghantar makanan diarah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk mengikuti panduan keselamatan ketika penyerahan makanan.

“Antara panduan perlu dipatuhi adalah mengekalkan jarak satu meter daripada pelanggan, sentiasa memakai penutup hidung dan mulut serta elakkan bersentuhan ketika penyerahan makanan.

“Keputusan ini dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Bencana peringkat negeri semalam,” katanya ditemui di pejabatnya di YPU hari ini.

Ahmad Farhan juga mengesahkan peralatan digunakan penghantar makanan termasuk bekas mengisi makanan juga tidak perlu disanitasi dengan semburan kimia seperti digunakan pihak berkuasa tempatan (PBT) pada operasi nyah cemar.

Ketika diminta mengulas berkaitan peniaga atau pengendali makanan, Ahmad Farhan berkata, peniaga makanan perlu mengemukakan sijil pengesahan kesihatan termasuk bukti sudah mendapat suntikan vaksin ketika membuat pendaftaran melalui aplikasi GanuShop.

Tegasnya, peniaga juga diminta mengemukakan pelan lokasi tempat penyediaan makanan bagi membolehkan PBT dan Jabatan Kesihatan negeri melakukan pemeriksaan.

“Setakat ini, lebih 2,000 peniaga makanan dan juadah berbuka puasa sudah mendaftarkan diri untuk menjalankan perniagaan melalui aplikasi GanuShop.

“Semua peniaga yang mendaftarkan diri untuk menjalakan perniagaan atas talian adalah peserta bazar Ramadan tahun lalu dan mereka sudah mendapatkan suntikan vaksin serta mempunyai sijil pengesahan kesihatan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri Dr Nor Azimi Yunus ketika dihubungi menjelaskan penghantar makanan tidak perlu mendapatkan suntikan anti typhoid dan tidak perlu menghadiri latihan pengendali makanan.

“Jabatan Kesihatan negeri sudah mendapatkan pengesahan daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan (KKM) dan mengesahkan penghantar makanan tidak perlu mendapatkan suntikan vaksin bagi mencegah penularan penyakit berjangkit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 April 2020 @ 2:57 PM