Zuhainy Zulkiffli


INDAH khabar dari rupa. Itu gambaran sebuah restoran popular di Lebuh Campbell, Georgetown, apabila pemiliknya didapati mengabaikan kebersihan dapur premisnya.

Restoran yang terkenal dalam kalangan pengunjung tempatan dan antarabangsa itu juga didapati tercemar dengan najis tikus dan lipas manakala lantai dapurnya pula didapati rosak dan berlubang sehingga menyebabkan air bertakung.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Wan Mansor Hamzah berkata, ruang makan di premis itu memuaskan dan selesa, namun pemiliknya tidak mengambil berat mengenai tahap kebersihan dalam mengendalikan makanan.

Katanya, seramai 14 pekerja di premis itu juga didapati tidak mengikuti kursus pengendalian makanan dianjurkan Jabatan Kesihatan selain suntikan typhoid sudah tamat tempoh.

“Suhu peti sejuk penyimpan bahan mentah juga tidak sesuai dan tidak bertutup serta dikhuatiri berlaku pencemaran makanan.

“Selain diperintah menutup selama 14 hari, premis itu tidak dibenarkan beroperasi selagi semua pekerjanya tidak mengambil kursus pengendalian makanan,” katanya kepada media, hari ini.

Wan Mansor ditemui ketika menjalankan Operasi Penang Sihat anjuran Jabatan Kesihatan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membabitkan lebih 120 anggota.

WAN Mansor (kanan) membuat pemeriksaan pada sebuah restoran di Lebuh Campbell , Georgetown. (Gambar kecil) Najis tikus ditemui di lantai dapur. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
WAN Mansor (kanan) membuat pemeriksaan pada sebuah restoran di Lebuh Campbell , Georgetown. (Gambar kecil) Najis tikus ditemui di lantai dapur. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal

Sementara itu, dalam satu operasi di sebuah restoran di Lebuh Kimberly, pemiliknya didapati tidak menguruskan stor penyimpanan dengan betul apabila mencampurkan bahan makanan dengan barangan pencuci.

Malah najis tikus dan lipas juga ditemui di bawah bahan makanan disimpan di stor premis berkenaan.

“Premis ini diarahkan tutup selama 14 hari berkuat kuasa hari ini dan pemilik perlu membersihkan persekitaran sepanjang tempoh itu.

“Penutupan dilakukan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Mansor menasihati pemilik dan pengendali makanan supaya mementingkan kebersihan terutama selepas premis itu popular dan tular di laman sosial.

“Apabila operasi premis menjadi sibuk, pemilik dan pengendali tidak mempunyai masa bagi kerja pembersihan.

“Tanpa disedari, keenakan makanan yang ditawarkan tidak selari dengan tahap kebersihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 3:03 PM