DEMAM kepialu atau dalam istilah perubatan 'typhoid fever' adalah sejenis penyakit berjangkit akibat jangkitan kuman iaitu 'salmonella typhi'.

Jangkitan kuman itu merebak melalui beberapa cara seperti makanan atau minuman yang dicemari najis mengandungi 'salmonella typhi'.

Selain itu, makanan atau minuman yang disediakan oleh pesakit atau pembawa salmonella typhi, hinggapan lalat membawa salmonella typhi atau bekalan air tidak bersih.

Di Malaysia, satu kajian yang dijalankan terhadap populasi di sekitar Lembah Klang mendapati, 502 kes demam kepialu dikesan sekitar 2011 sehingga 2015.

Hasil kajian itu adalah bukti yang menunjukkan kes demam kepialu wujud dan berlaku dalam negara ini.

Semasa jangkitan, kuman daripada jenis gram negatif ini akan membiak di dalam badan pesakit, terutama di dalam usus, limpa, pundi hempedu, nod limfa dan juga saluran darah.

Antara tanda dan gejala demam kepialu:

- Demam panas berpanjangan

- Sembelit

- Sakit badan/lemah/letih lesu

- Kurang selera makan

- Sakit kepala

- Mata layu dan cengkung

- Cirit-birit

- Sakit perut

- Ruam (bintik merah pada bahagian atas badan)

- Tidak sedarkan diri dan meracau

Jangkitan salmonella typhi menyebabkan demam kepialu ini boleh mendatangkan mudarat dan bahaya terhadap pesakit.

Pesakit boleh mengalami pendarahan dan bahagian yang dijangkiti di dalam usus berisiko untuk bocor dan pecah.

Dalam kes yang serius, demam kepialu boleh menyebabkan kematian jika tidak mendapat rawatan awal secukupnya.

Vaksin tifoid ialah sejenis vaksin yang boleh membantu mencegah dan mengurangkan risiko jangkitan penyakit demam kepialu.

Terdapat dua jenis vaksin tifoid di Malaysia iaitu:

a. Vaksin tifoid jenis suntikan

b. Vaksin tifoid jenis kapsul

Vaksin tifoid jenis suntikan tersedia dalam bentuk cecair vaksin berisipadu 0.5 mililiter (ml) yang boleh disuntik ke bahagian otot individu dewasa dan kanak-kanak berusia dua tahun ke atas dengan sekali suntik atau dengan suntikan booster setiap tiga tahun sekali.

Bagi vaksin tifoid jenis kapsul pula, sebiji kapsul ini perlu ditelan bersama-sama segelas air sejuk semasa perut kosong dan diambil sebanyak tiga dos (hari pertama, hari ketiga dan hari kelima bermula daripada hari pertama dos diambil).

Vaksin tifoid jenis kapsul boleh diambil oleh individu dewasa dan kanak-kanak berusia lima tahun ke atas.

Pengendali makanan, sama ada warganegara Malaysia atau pun bukan warganegara diwajibkan mengambil dos vaksin tifoid.

Langkah ini penting bagi mengelak penularan demam kepialu melalui kaedah penyediaan makanan.

Menurut Peraturan 11, Peraturan Kebersihan Makanan 2009, pemilik premis makanan hendaklah tidak menggaji atau membenarkan mana-mana pengendali makanan bekerja di premisnya, melainkan jika mereka diberi suntikan vaksin (pelalian anti-tifoid) oleh pengamal perubatan berdaftar.

Di samping itu, mengikut Peraturan 31, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, semua pengendali makanan, sama ada warganegara atau bukan warganegara perlu mendapatkan suntikan vaksin oleh pengamal perubatan berdaftar.

Selain daripada pengendali makanan, individu berada di dalam kawasan jangkitan demam kepialu kerap berlaku, atau ingin melakukan perjalanan ke negara mempunyai jumlah kes jangkitan demam kepialu yang tinggi, turut digalakkan untuk mendapatkan dos vaksin tifoid.

Bagaimanapun, jika mempunyai masalah alahan terhadap vaksin, masalah pendarahan, contohnya 'thrombocytopenia', jangkitan kuman atau virus atau sedang mengandung, individu itu perlu memberitahu doktor bagi membolehkan doktor melakukan penilaian klinikal sebelum memberikan vaksin tifoid ini.

Selepas menerima suntikan tifoid, penerima suntikan perlu memaklumkan kepada doktor atau ahli farmasi sekiranya mereka mengalami kesan advers susulan imunisasi (AEFI).

Antara AEFI yang biasa dilaporkan termasuklah pitam, loya, muntah, cirit-birit atau pening kepala.

Sekiranya perlu, AEFI boleh dirawat dengan ubat-ubatan am seperti ubat tahan sakit.

Aduan AEFI boleh juga dibuat dengan mengisi borang ConSERF melalui laman web Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Disediakan oleh:

Nurul Amira Zunaidi

Pegawai Farmasi

Hospital Tengku Ampuan Afzan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Jun 2022 @ 6:30 AM