Baharom Bakar


Kuala Terengganu: "Kami tidak sabar menunggu giliran untuk mendapatkan dos kedua suntikan vaksin Covid-19 dan berharap sektor pelancongan akan kembali dibuka bagi meneruskan kelangsungan hidup."

Begitu kata Pohot Jusoh, 66, antara 19 pengayuh beca roda tiga berusia 60 hingga 75 tahun yang menerima dos pertama suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), di sini, hari ini.

Pohot berkata, mereka hadir ke PPV berkenaan dengan menaiki dua kenderaan disediakan Jabatan Pelancongan negeri untuk menerima vaksinasi.

"Kami kini menunggu suntikan dos kedua yang akan dilakukan pada 22 Julai depan," katanya ketika dirai Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim di PPV berkenaan, di sini.

Rakannya Abdullah Mohamad, 65, berkata dia tidak bimbang akan dijangkiti virus Covid-19 selepas mendapat suntikan dos pertama.

MOHD Huzairil (dua kanan) melihat kesan suntikan pada bahu Abdullah (tiga kiri) ketika menyampaikan makanan tengah hari kepada pengayuh beca roda tiga di sini, hari ini. FOTO Baharom Bakar
MOHD Huzairil (dua kanan) melihat kesan suntikan pada bahu Abdullah (tiga kiri) ketika menyampaikan makanan tengah hari kepada pengayuh beca roda tiga di sini, hari ini. FOTO Baharom Bakar

"Kami tidak sabar dipanggil untuk mendapatkan suntikan kedua yang dijangka pertengahan bulan depan," sambil mengakui tiada kesan sampingan selepas mendapatkan suntikan.

Sementara itu, Mohd Huzairil Nizam berkata, selain pengayuh beca roda tiga terbabit, pemandu bot penambang dan peniaga di Pasar Besar Kedai Payang, di sini, turut didaftarkan secara manual dan menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, mereka antara penggiat industri pelancongan yang perlu diberi keutamaan untuk mendapatkan suntikan vaksin berkenaan.

"Pelancong dari dalam dan luar negara akan rasa lebih selamat sekali gus tidak bimbang dijangkiti Covid-19 ketika melancong ke negeri ini selepas kerajaan membenarkan rentas negeri dan daerah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 6:21 PM