Mohd Amin Jalil


PERUMAHAN awam yang didiami golongan berpendapatan rendah seluruh negara akan diletakkan sebagai kawasan tumpuan bagi melaksanakan operasi nyah cemar bagi membendung rantaian koronavirus baharu (Covid-19).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Seri Ismail Abd Mutalib berkata, berbanding kawasan kondo atau perumahan elit, tumpuan diberikan kepada kawasan berkenaan yang terdiri daripada masyarakat yang ramai.

“Operasi sanitasi ini akan diberikan tumpuan terlebih dulu di kawasan perumahan awam berpendapatan rendah berbanding kawasan kondo kerana ia terdiri masyarakat dan ahli keluarga yang ramai serta mudah terdedah kepada jangkitan Covid-19.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) adalah agensi yang terbabit secara langsung dalam operasi ini.

“Sehingga kini, sebanyak 85 kawasan di seluruh negara sudah dijalankan operasi sanitasi awam sebaik dilancarkan semalam, yang membabitkan 14 kawasan zon merah, zon jingga (enam) dan zon kuning (sembilan). Sebanyak 106 lagi operasi dirancang dilaksanakan dalam tempoh dua hari akan datang,” katanya pada sidang media selepas menyertai Operasi Sanitasi Awam di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Seremban, di Seremban, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Wahab Mat Yassin, Pengarah JPBM Negeri Sembilan Hamdan Ali, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim dan Datuk Bandar Seremban Datuk Zazali Salehudin.

Selain Stesen KTMB Seremban, operasi berkenaan turut dijalankan beberapa lokasi tumpuan awam lain sekitar pusat bandar.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, operasi berkenaan membabitkan 1,535 anggota yang terdiri daripada 365 pegawai bomba dan 1,170 anggota daripada pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Jabatan Alam Sekitar dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Ismail berkata, dia berharap masyarakat memberikan kerjasama dengan mematuhi sepenuhnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan memahaminya langkah yang diambil kerajaan.

Menjawab soalan wartawan mengenai kesediaan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu, Ismail berkata, KPKT mengalu-alukannya namun perlu melalui saluran ditetapkan iaitu Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kami (KPKT) alu-alukan bantuan dan sokongan terutama mereka yang berpengalaman dan ada kemahiran, namun perlu melalui saluran ditetapkan supaya ia dapat diselaraskan MKN,” katanya.

PASUKAN Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan melakukan kerja-kerja nyahcemar dan sanitasi di Stesen Keretapi Seremban berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan wabak Covid-19. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
PASUKAN Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan melakukan kerja-kerja nyahcemar dan sanitasi di Stesen Keretapi Seremban berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah penularan wabak Covid-19. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 2:58 PM