Mohd Amin Jalil


SEPULUH agensi kerajaan dengan 164 anggota di Negeri Sembilan bekerjasama bagi menjayakan program sanitasi awam bertujuan menyekat rantaian penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19) yang bermula hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan Hamdan Ali yang mengetuai program berkenaan berkata, lima taman perumahan yang disifatkan sebagai zon merah menjadi lokasi pertama proses berkenaan dilakukan.

Menurutnya, taman perumahan terbabit ialah Taman Panchor Jaya, Taman Desa Orkid, Taman Seri Pagi, Taman Desa Melor dan Taman Desa Anggerik.

“Tumpuan program sanitasi hari ini diberikan di kawasan tumpuan awam dan berisiko tinggi yang disifatkan sebagai zon merah iaitu membabitkan kawasan Ampangan dan Senawang.

“Kita mempunyai kekuatan seramai 164 anggota daripada 10 agensi kerajaan termasuk Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Keanggotaan dipecahkan kepada lima kumpulan dengan anggota bomba memberi tumpuan bagi kawasan dalam bangunan. Operasi nyahkuman turut membabitkan surau dan masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas memberikan taklimat kepada semua anggota di perkarangan Ibu Pejabat JBPM Seremban 2, di Seremban, hari ini.

Turut hadir, Penolong Pengarah Operasi JBPM Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mokhtar dan Pegawai Kesihatan Daerah Seremban, Dr Muhammad Hazizi Muhammad Hasani.

Mengulas lanjut, Hamdan berkata, program sanitasi itu membabitkan laluan perumahan dan premis awam.

“Program sanitasi akan diteruskan pada hari berikutnya di kawasan lain seperti Pasar Besar Seremban dan sekitarnya pada esok,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Dr Muhammad Hazizi berkata, tumpuan diberikan kepada kawasan berisiko tinggi.

Menurutnya, sehingga kini Seremban merekodkan 107 kes Covid-19 dengan 50 peratus daripadanya membabitkan kawasan Ampangan dan Senawang.

“Orang ramai di daerah ini memberikan kerjasama baik dengan kadar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agak tinggi. Penduduk hanya keluar rumah apabila ada urusan penting sahaja,” katanya.

Anggota Bomba menjalankan proses  Nyahcemar Kuman kawasan rumah penduduk di Sungai Ramal Dalam  pada Pandemik Covid-19 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Saifullizan Tamadi
Anggota Bomba menjalankan proses Nyahcemar Kuman kawasan rumah penduduk di Sungai Ramal Dalam pada Pandemik Covid-19 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). FOTO Saifullizan Tamadi

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 1:53 PM