ANGGOTA Majlis Bandaraya Seremban (MBS) melakukan kerja-kerja sanitasi di dalam persekitaran Pasar Besar Seremban. FOTO BERNAMA
ANGGOTA Majlis Bandaraya Seremban (MBS) melakukan kerja-kerja sanitasi di dalam persekitaran Pasar Besar Seremban. FOTO BERNAMA
Mohd Amin Jalil


HAMPIR keseluruhan kawasan berisiko wabak Covid-19 di Negeri Sembilan sudah dilakukan sanitasi atau nyah kuman bagi memastikan bebas sepenuhnya daripada wabak berkenaan.

Sekretariat program, Ahmad Khomeini Kamarudzaman berkata, operasi sanitasi berulang turut dilakukan di kawasan tumpuan dan premis tertentu terutama dikategorikan zon merah.

Beliau yang juga Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Seremban 2, berkata secara keseluruhan 966 premis di seluruh negeri itu sudah disanitasi sejak operasi bermula 30 Mac sehingga petang semalam.

Beliau berkata, di Seremban yang masih berstatus zon merah Covid-19 menyaksikan 423 premis sudah disanitasi.

"Manakala dua zon kuning iaitu Jempol dan Rembau masing-masing sebanyak 128 dan 52 premis, Port Dickson (78), Tampin (162), Kuala Pilah (37) dan Jelebu (86).

"Premis dibuat sanitasi termasuk tempat beribadat (109), pasar awam (29), kawasan perumahan (179), stesen pengangkutan awam (41), bangunan kerajaan (179), pasar raya (11) dan 418 premis perniagaan," katanya di Seremban, hari ini.

Beliau berkata, lebih 120 anggota daripada 11 agensi kerajaan terbabit dalam melaksanakan sanitasi berkenaan.

Menurutnya, orang ramai memberikan kerjasama baik kepada pasukan operasi dengan berada dalam rumah atau premis masing-masing.

"Operasi sanitasi dilakukan mengikut garis panduan, pengawasan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Operasi akan diteruskan lagi membabitkan beberapa lokasi termasuk bangunan pusat pentadbiran kerajaan negeri di Wisma Negeri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 6:50 PM