ANGGOTA bomba membuat sanitasi di UTC Ampangan. FOTO Mohd Amin Jalil
ANGGOTA bomba membuat sanitasi di UTC Ampangan. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil

Seremban: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan akan menggerakkan program sanitasi besar-besaran di setiap lokasi tumpuan awam di seluruh negeri ini, sebagai langkah membendung penularan wabak pandemik Covid-19.

Pengarahnya, Hamdan Ali berkata, program kali ini dibuat tanpa memerlukan permohonan daripada mana-mana pihak dengan membabitkan kerjasama 18 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dari seluruh negeri.

"Jika sebelum ini kita berpandukan kepada permohonan yang diterima daripada pelbagai agensi, tetapi kali ini sanitasi dibuat di tempat tumpuan awam tanpa perlu mengemukakan permohonan.

"Usaha ini dilakukan sebagai inisiatif dalam membendung penularan Covid-19 yang menunjukkan peningkatan kebelakangan ini.

"Sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hampir 2,000 lokasi awam di negeri ini sudah disanitasi oleh pihak bomba," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Operasi Sanitasi Awam Covid-19 di Balai Bomba Seremban 2, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 200 anggota akan terbabit dalam program berkenaan membabitkan 36 kenderaan.

Menurutnya, pihaknya juga bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengadakan sanitasi di beberapa pusat kuarantin di negeri ini.

Katanya, operasi itu akan turut dilaksanakan secara berulang dari semasa ke semasa.

"Operasi sanitasi ini akan membabitkan tiga zon iaitu Seremban), Port Dickson dan Kuala Pilah.

"Hari ini dan esok sahaja tumpuan di Seremban dengan sanitasi dilaksanakan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Ampangan, 26 pasar awam, dua kawasan perumahan, sebuah surau dan sebuah pejabat kerajaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 3:37 PM