Anggota JPJ memeriksa kenderaan yang menggunakan lampu HID melebihi kuasa ditetapkan dalam Operasi Khas Lampu HID yang dijalankan di Kilometer (KM) 5.5, Jalan Seremban-Tampin berhampiran JPJ Senawang di sini. Foto Ihsan JPJ
Anggota JPJ memeriksa kenderaan yang menggunakan lampu HID melebihi kuasa ditetapkan dalam Operasi Khas Lampu HID yang dijalankan di Kilometer (KM) 5.5, Jalan Seremban-Tampin berhampiran JPJ Senawang di sini. Foto Ihsan JPJ
Ahmad Hasbi

Seremban: Demi kepuasan sendiri dan mahu kereta masing-masing kelihatan cantik, segelintir pemandu dikesan mengabaikan keselamatan pengguna jalan raya lain dengan memasang lampu 'high intensity discharged' (HID) melebihi kuasa ditetapkan.

Dalam Operasi Khas Lampu HID yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kilometer 5.5, Jalan Seremban- Tampin berhampiran JPJ Senawang di sini, Selasa lalu mengesan 55 kenderaan melakukan kesalahan berkenaan.

Pengarah JPJ Negeri Sembilan Hanif Yusabra Yusuf berkata, dalam pemeriksaan selama dua jam bermula 9 malam itu, pihaknya memeriksa 496 kenderaan.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 55 disaman atas kesalahan menggunakan lampu HID yang dipasang secara aksesori dengan kuasa melebihi standard ditetapkan.

"Sebanyak 32 Notis P22 iaitu notis arah periksa dikeluarkan bagi kesalahan mengikut Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Kami turut mengeluarkan 10 Notis PG1 (notis larangan penggunaan) selain dua notis penyitaan atas kesalahan mengikut Seksyen 64(1) APJ 1987," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai Notis P22, Hanif berkata, jika ada pemilik kenderaan tidak hadir pemeriksaan dalam tempoh yang diberikan, pemilik boleh dikenakan kompaun serta disenarai hitam bagi memperbaharui lesen memandu atau lesen kenderaan motor.

Beliau berkata, terdapat golongan yang dilihat tidak mengendahkan keselamatan pengguna jalan raya lain dengan mengubah suai kenderaan mereka seperti penggunaan lampu HID yang tidak dibenarkan.

Menurutnya, pihaknya sebelum ini kerap mengadakan advokasi keselamatan jalan raya bagi mendidik pengguna supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan, bagaimanapun tindakan penguatkuasaan adalah langkah terakhir.

"Adalah diingatkan bahawa setiap peraturan dan undang-undang yang digubal bukan untuk menghukum tetapi bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna supaya dapat meningkatkan tahap keselamatan jalan raya.

"Disebabkan itu, advokasi dan khidmat nasihat oleh anggota bertugas turut dilakukan supaya pengguna dapat memahami setiap peraturan dan undang-undang berkenaan adalah untuk kepentingan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 10:34 AM