Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan operasi khas terhadap kesalahan berkaitan nombor pendaftaran, penggunaan lampu strob dan lampu HID terhadap pengguna kenderaan di seluruh negara pada 1 November depan.

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, operasi bersepadu itu akan dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi mengesan pengguna kenderaan yang melanggar kesalahan berkenaan.

Beliau berkata, bagi tiga kesalahan berkenaan, pengguna yang dikesan akan diberi saman dan notis larangan serta merta.

"Saman dan notis larangan itu dikenakan di bawah Kaedah 94 Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembuatan dan Penggunaan) 1959 di mana kompaun bermula dari RM70 hingga RM100 jika dibayar dalam tempoh dua minggu.

"Manakala, jika kompaun berkenaan tidak dibayar dalam tempoh dua minggu maka, kompaun berkenaan akan meningkat antara maksimum RM200 hingga RM250 selepas sebulan tidak dibayar," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya juga menetapkan tempoh sehingga 1 Mei tahun depan bagi mematuhi peraturan cermin gelap menerusi Kadar ketelusan cahaya (Visible Light Transmittance -VLT) yang sudah ditetapkan.

Lampu strob iaitu lampu amaran yang sering digunakan pihak berkuasa seperti polis serta lampu HID atau lampu yang tidak menggunakan filament tetapi menggunakan Gas Xenon menjadi aksesori kegemaran pemilik kereta bagi menampilkan kelainan.

Bagaimanapun, lampu strob boleh disalah guna manakala lampu HID membahayakan pengguna jalan raya lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 12:51 PM