MOHD Huszir dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
MOHD Huszir dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan. FOTO Zatul Iffah Zolkiply.
Zatul Iffah Zolkiply


TUKANG paip dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 104.83 gram.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Huszir Anwar, 39, mengaku salah terhadap dua pertuduhan mengikut 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama rakannya, Muhammad Firdaus Harun, 29, memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 104.51 gram di sebuah rumah di Al Muktafi Billah Shah, Dungun, jam 12.45 tengah malam pada 14 Mac 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang dihukum mengikut Seksyen 39 A(2) akta sama dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan.

Selain itu, tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 0.32 gram di lokasi, masa dan hari yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara tiga tahun.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula daripada tarikh tangkap.

Sementara itu, rakan tertuduh, Muhammad Firdaus dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan sama selepas Mohd Huszir mengaku salah terhadap pertuduhan pilihan yang ditawarkan timbalan pendakwa raya daripada kesalahan mengedar kepada memiliki dadah.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud dan Amer Abu Bakar Abdullah.

Sementara, Mohd Huszir dan Muhammad Firdaus masing-masing diwakili peguam, Mazlan Md Zein dan Mohd Kamaruzaman A Wahab.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 4:47 PM