DUA lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 626.55 gram. FOTO Zatul Iffah Zolkipfly
DUA lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 626.55 gram. FOTO Zatul Iffah Zolkipfly
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini, menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap dua lelaki selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 626.55 gram.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas kedua tertuduh, Mohd Shazril Hafez Ibrahim dan Ahmad Sawal Ramle didapati bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Keputusan itu dibuat Abdul Wahab selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes itu.

"Semasa di peringkat pembelaan didapati kamu berdua memberi keterangan lebih kepada penafian kosong semata-mata sedangkan penafian bukan satu yang boleh menimbulkan keraguan munasabah," katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, dua tertuduh didakwa bersama-sama mengedar methamphetamine seberat 75.06 gram dalam bilik hadapan sebuah rumah di Jalan Kuala Berang, Kampung Padang Midin, Bukit Payong di Marang, pada 6.30 petang, 8 Februari 2018.

Bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis sama seberat 551.49 gram di lokasi, masa dan tarikh sama.

Selain itu, Mohd Shazril Hafez turut berdepan pertuduhan ketiga mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 kerana memiliki methamphetamine seberat 8.07 gram di lokasi, waktu dan hari yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dijatuhi hukuman penjara empat tahun dari tarikh tangkapan dan tiga sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amer Abu Bakar Abdullah dan Ahmad Fadhli Mahmud, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Datuk Shukri Mohamed.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 5:48 PM