MOHD Khairul Azuan Mohd Idrus, 33, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana memiliki dadah jenis heroin dan methamphetamine. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MOHD Khairul Azuan Mohd Idrus, 33, dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana memiliki dadah jenis heroin dan methamphetamine. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 20 sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana memiliki dadah jenis heroin dan methamphetamine, dua tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Azman Mustapha selepas tertuduh, Mohd Khairul Azuan Mohd Idrus, 33, didapati bersalah terhadap dua pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta sama.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis heroin seberat 5.71 gram di belakang sebuah rumah di Kampung Pauh, Kuala Berang, Hulu Terengganu, 8.30 malam pada 2 Januari 2016.

Selain itu, tertuduh turut didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 36.18 gram di lokasi, waktu dan hari sama.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Mohamad Razali.

Mengikut fakta kes, polis membuat serbuan di rumah di Kampung Pauh, Kuala Berang, Hulu Terengganu, selepas menerima maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah oleh lelaki dikenali sebagai 'Apek' (tertuduh) yang dijalankan di belakang rumah berkenaan.

Ketika serbuan, tertuduh cuba melarikan diri namun, berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dan hasil pemeriksaan menemui dadah di dalam beg pinggang dipakainya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2017 @ 5:20 PM