Hafidzul Hilmi Mohd Noor


JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan hanya seorang mangsa yang masih terperangkap dalam runtuhan di sebuah kondominium dalam pembinaan di Taman Desa, di sini, hari ini.

Pengarah JBPM Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, terdapat dua mangsa warga asing asing terperangkap dalam runtuhan berkenaan.

“Seorang mangsa sudah berjaya dibawa keluar pada jam 5.15 petang tadi dan kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Pasukan penyelamat juga sudah berkomunikasi dengan mangsa yang terperangkap itu dan dia dijangka dapat dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian.

Nordin berkata, pihak bomba turut melarang pihak atau agensi penguatkuasaan lain yang tiada kepakaran keselamatan berada berhampiran bangunan ini.

“Ini berikutan penilaian awal kami yang mendapati struktur binaan di kawasan ini dirasakan tidak selamat dan tidak kukuh.

“Setakat ini seramai 150 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi keselamatan termasuk bomba dan polis dikerahkan dalam operasi mencari dan menyelamat ini selain ditugaskan mengawasi lokasi berhampiran tempat kejadian,” katanya.

Terdahulu dalam kejadian pada jam 3.47 petang itu struktur kondominium yang dalam pembinaan di Taman Desa runtuh.

JBPM mengerahkan lima jentera dengan kekuatan lebih 50 pegawai dan anggota ke lokasi kejadian.

Salah seorang mangsa yang terperangkap berjaya diselamatkan pada jam 5.15 minit petang dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Kedua-dua mangsa dipercayai adalah warga Bangladesh.

Berita berkaitan

Struktur kondominium dalam pembinaan runtuh

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 8:24 PM