DR NOOR Azizi (dua dari kanan)  menerima replika cek berjumlah RM100,000 daripada Nazir Hussain (kiri) pada Majlis Penyerahan BAP di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. FOTO IHSAN UMK
DR NOOR Azizi (dua dari kanan) menerima replika cek berjumlah RM100,000 daripada Nazir Hussain (kiri) pada Majlis Penyerahan BAP di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur. FOTO IHSAN UMK
Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Seramai 100 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang terdiri daripada keluarga golongan B40 menerima Bantuan Awal Pengajian (BAP) bernilai RM100,000 sumbangan daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Ts Dr Zaliman Sauli, berkata, pelajar yang layak menerima sumbangan terbabit terdiri daripada golongan berpendapatan isi rumah rendah yang dinilai melalui saringan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni.

"Bantuan secara 'One Off' sebanyak RM1,000 seorang ini diberi kepada pelajar daripada semester satu dengan harapan dapat membantu mereka untuk memulakan pengajian di UMK terutamanya bagi golongan yang terkesan susulan penularan pandemik Covid-19.

"UMK menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YBR dan Kementerian Pendidikan Tinggi yang prihatin kepada kesejahteraan pelajar.

"Penyaluran insentif terbabit dilakukan secara berperingkat dan dikreditkan ke dalam akaun simpanan Bank Rakyat pelajar," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Zaliman berkata, Majlis Penyerahan Bantuan Awal Pengajian (BAP) kepada 13 Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta diadakan di Menara Kembar Bank Rakyat, Kuala Lumpur, pada Khamis lalu.

Tambahnya, majlis penyerahan sudah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad.

"Sementara itu, Naib Canselor UMK, Prof Datuk Ts Dr Noor Azizi menerima replika cek berjumlah RM100,000 daripada Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Nazir Hussain Akhtar Hussin pada majlis terbabit.

"Selain UMK, turut menerima bantuan BAP ialah 13 IPTA dan IPTS lain seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

"Semoga bantuan ini dapat memberi manfaat dan digunakan sebaiknya bagi melancarkan urusan pembelajaran pelajar selain meringankan beban mereka terutama dalam tempoh pendemik Covid-19" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 7:42 PM