PESERTA program ‘Alumni Insights: Crime Journalism and Photojournalism’,. FOTO Asyraf Hamzah
PESERTA program ‘Alumni Insights: Crime Journalism and Photojournalism’,. FOTO Asyraf Hamzah
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SERAMAI 185 penuntut Diploma Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Rembau menyertai program ‘Alumni Insights: Crime Journalism and Photojournalism’, hari ini.

Program anjuran Kelab Pelajar Media dan Komunikasi (MCSC) itu menjemput wartawan meja jenayah Harian Metro, Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Jurugambar The New Straits Times Press (NSTP) yang juga alumni UiTM berkongsi pengalaman bidang kewartawanan jenayah serta fotografi.

Penolong Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Rembau Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah berkata, penganjuran program itu membantu penuntut memperoleh ilmu dan pendedahan melalui perkongsian pengalaman alumni.

“Peserta program ini dalam kalangan penuntut semester dua dan tiga yang mengambil subjek Kewartawanan dan Pengenalan Komunikasi Fotografi.

“Justeru, ilmu dan perkongsian amat bermanfaat dalam membantu penuntut lebih memahami bidang ini,” katanya.

Beliau berkata, melalui program itu diharap dapat mempertingkatkan pencapaian akademik penuntut dari semasa ke semasa.

“Saya juga berharap lebih ramai penuntut berminat menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda bidang kewartawanan dan fotografi bagi memastikan industri kewartawanan Malaysia terus maju dan berkembang pada masa akan datang.

“Program julung kali diadakan ini mendapat sambutan daripada penuntut yang ingin mengetahui situasi sebenar perlu dilalui wartawan jenayah dan jurugambar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 8:37 PM