SITI Hawa bersama tiga anaknya menyiram air mawar pada pusara suaminya Mohamad Haitimi selepas dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Penggeli Timur. FOTO Adnan Ibrahim
SITI Hawa bersama tiga anaknya menyiram air mawar pada pusara suaminya Mohamad Haitimi selepas dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Penggeli Timur. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim

“JANGAN tinggal solat dan jaga kebajikan anak-anak.”

Itu pesan Pegawai Bomba Kanan II, Mohamad Haitimi Ahmad, 39, yang meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Jalan Inas-Bandar Tenggara, 7.50 pagi tadi, kepada isterinya, Siti Hawa Abdul Hamid, 36.

Menurut Siti Hawa, ungkapan itu kerap diulang suaminya setiap kali keluar untuk bekerja di Balai Bomba dan Penyelamat Kulai sejak akhir-akhir ini namun dia hanya menganggap ia hanya pesanan biasa seorang ketua keluarga.

Katanya, pagi tadi, suaminya agak lewat keluar rumah untuk ke tempat kerja.

Rutinnya ialah, dia keluar rumah jam 7 pagi namun pagi tadi, Mohamad Haitimi keluar rumah jam 7.15.

“Suami keluar selepas menghantar dua anak ke sekolah yang terletak berdekatan dengan rumah.

“Suami juga tiba-tiba menjadi pendiam serta suka menyendiri walaupun berada di rumah bersama tiga anak berusia tiga hingga 11 tahun.

“Petang semalam pula, suami sanggup datang ke Stadium Mini Bandar Tenggara semata-mata untuk menemani anak kedua kami berlatih sukan sedangkan sebelum ini dia tidak pernah berbuat demikian,” katanya.

Siti Hawa berkata demikian ketika ditemui selepas pengebumian suaminya di Tanah Perkuburan Islam FELDA Penggeli Timur di Bandar Tenggara.

Siti Hawa turut berterima kasih kepada anggota Bomba dan Penyelamat Kulai dan Kluang yang membantu menguruskan pengebumian arwah suaminya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, siasatan awal mendapati, Mohamad Haitimi dalam perjalanan dari Bandar Tenggara ke arah FELDA Inas sebelum terbabit kemalangan.

“Tiba di lokasi, sebuah kereta dipandu lelaki berusia 24 tahun yang datang dari arah bertentangan tiba-tiba hilang kawalan dan memasuki laluan mangsa.

“Akibat pertembungan itu, kaki kiri mangsa putus selain patah tangan serta kaki kanan. Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang manakala pemandu kereta dihantar ke Hospital Kulai untuk rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 7:20 PM