Nazdy Harun


Marang: "Pelbagai kaedah sudah diambil termasuk menggunakan khidmat ustaz dan pengamal perubatan tradisional, namun usaha mencari anak (Abdul Hadi Ismail, 37) masih buntu," kata Siti Hawa Mat Zin, 66.

Siti Hawa dari Kampung Tasek, Titian Haji Abas, dekat sini, berkata sepanjang 12 hari kehilangan anaknya, lebih 30 pengamal perubatan tradisional termasuk ustaz datang membantu, tetapi usaha masih belum membuahkan hasil.

Katanya, dia kini kurang berehat dengan waktu tidurnya juga terhad berikutan perlu berubat untuk mencari anaknya.

"Penduduk kampung juga ramai membantu untuk mencari Abdul Hadi dan keluar mencari di lokasi tertentu, namun pulang dengan hampa.

"Banyak kawasan sudah diredah termasuk alur sungai, sungai, hutan, belukar, rumah kosong dan sebagainya namun kelibat anaknya masih belum ditemui," katanya yang sanggup berhabisan wang demi memastikan anak keempatnya berjaya ditemui semula.

Sementara itu, isteri kepada Abdul Hadi, Noor Izzaty Shakira Zaid, 31, yang kini enam bulan mengandung anak sulung berkata, dia berharap suaminya segera ditemui selepas kali terakhir bertemu dengan suaminya kira-kira 12 hari lalu.

SITI Hawa kelihatan sedih selepas anaknya hilang yang memasuki  hari ke-12 ketika temui di kediamannya,  Kampung Tasek.  FOTO Ghazali Kori
SITI Hawa kelihatan sedih selepas anaknya hilang yang memasuki hari ke-12 ketika temui di kediamannya, Kampung Tasek. FOTO Ghazali Kori

"Saya buntu memikirkan kehilangannya dan berharap suami segera pulang ke rumah memandangkan diri saya kini sedang hamil selain emosi sering terganggu.

"Kalau dia (suami) ada masalah... tolonglah pulang dan ceritakan masalah itu kerana kami bersedia membantu," katanya.

Harian Metro sebelum ini ada memaparkan kisah Noor Izzaty mencari suaminya yang hilang selepas keluar rumah untuk menunaikan solat Jumaat.

Abdul Hadi yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal kaki keluar dari rumah kira-kira 12.15 tengah hari dengan berpakaian T-shirt berwarna kelabu, kain pelikat kemerahan, kopiah hitam dan bertongkat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mei 2022 @ 2:50 PM