GAMBAR hiasan. Arkib NSTP.
GAMBAR hiasan. Arkib NSTP.
Noor Atiqah Sulaiman


KERAJAAN menyumbang 18 juta sarung tangan klinikal untuk digunakan pegawai perubatan di Wuhan, China yang kini dilanda wabak koronavirus baharu (2019-nCoV).

Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata, sumbangan itu seiring hasrat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersedia menghantar bantuan ke Wuhan jika dibenarkan kerajaan China.

“Pada masa ini, hospital di Wuhan merayu bantuan keperluan perubatan seperti penutup muka, sut dan sarung tangan klinikal.

“Untuk itu, sarung tangan perubatan jenis getah asli dan nitrile akan dihantar ke China dan kumpulan penghantaran pertama kini dalam perjalanan ke Wuhan.

“Syarikat Top Glove dan Supermax sudah menyumbangkan 2.3 juta sarung tangan perubatan ini dan akan diikuti beberapa syarikat sarung tangan lain seperti Smart Glove, Hartalega, Kossan, YTY, Brightway dan Koon Seng,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan penyerahan sarung tangan itu daripada 10 pengeluar kepada Duta China ke Malaysia, Bai Tian di Putrajaya, hari ini.

Teresa berkata, pihaknya juga sudah berjumpa Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah bagi membantunya melancarkan penghantaran sarung tangan berkenaan.

“Disebabkan ada penerbangan khas ke Wuhan bagi mengambil rakyat Malaysia di sana, saya memohon supaya bekalan sarung tangan ini dibawa terus menerusi penerbangan sama,” katanya.

Pada 2014, Malaysia pernah menghantar lebih 20 juta sarung tangan getah klinikal ke lima negara Afrika iaitu Liberia. Sierea Leone, Guinea dan Congo yang ketika itu berdepan wabak Ebola.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 January 2020 @ 2:12 PM