Dua tokan dadah dicekup. FOTO Juwan Riduan
Dua tokan dadah dicekup. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


CUBAAN dua lelaki disyaki 'tokan' dadah melarikan diri daripada polis dalam Ops Ice Breaker di Kampung Wak-Wak, Jalan Sepanggar, di Kota Kinabalu, gagal apabila mereka berjaya ditahan bersama sejumlah dadah jenis syabu, petang kelmarin.

Dalam operasi jam 6.30 petang itu, kedua-dua suspek berusia 30 dan 40 tahun terbabit dilapor sedang membungkus dadah sebelum rumah berkenaan diserbu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Harian Metro dimaklumkan, polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 50.92 gram bersama peralatan membungkus dadah syabu di premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dua suspek itu antara 58 individu yang diberkas dalam Ops Ice Breaker yang dilakukan pihaknya bermula 18 Januari dan berakhir semalam.

"Tangkapan itu adalah kejayaan terbesar dalam operasi berkenaan dan kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Habibi berkata, daripada jumlah itu juga, seorang suspek disiasat mengikut Seksyen 39A(1) ADB 1952 membabitkan kategori bekalan dan pengedaran dadah.

"Seterusnya, 16 individu bagi kesalahan memiliki dadah iaitu disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952. Diikuti 39 individu membabitkan kesalahan urin dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) akta sama.

"Seramai 48 individu yang ditahan adalah warga tempatan dan 10 yang lain warga asing. Semua ditahan berusia lingkungan 13 hingga 62 tahun," katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh operasi, polis merampas sebanyak 62.8 gram syabu dianggarkan bernilai RM9,300 mengikut harga pasaran semasa.

"Usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di daerah ini sentiasa diperhebat dari semasa ke semasa demi kesejahteraan dan ketenteraman awam.

"Orang awam dinasihatkan supaya sentiasa menyalurkan maklumat ke hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529220 bagi berkaitan sebarang kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 January 2020 @ 3:50 PM