ANTARA individu yang ditahan. FOTO JUWAN RIDUAN
ANTARA individu yang ditahan. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


SERAMAI 71 individu ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah melalui Ops Ice Breaker di sekitar bandar Kota Kinabalu bermula 22 Februari hingga kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi berkenaan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

“Selain Kampung Warisan, Kampung Air, Kampung Bakau, turut menjadi tumpuan di beberapa lokasi panas yang dikenal pasti sebagai sarang penagihan dadah di sekitar bandar raya ini.

“Hasilnya menahan seramai 71 individu atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.

Habibi berkata, daripada jumlah itu, seramai 61 membabitkan warga tempatan manakala selebihnya warga asing berusia 16 hingga 61 tahun.

“Bagi tempoh itu juga, sebanyak 1,639.16 gram syabu; 2,662 gram ketamin; 1,020 gram pil ekstasy dan 306 gram pil eramin 5 dianggarkan bernilai RM425,544 dirampas,” katanya.

Menurut Habibi, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

“Usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di lokasi dikenal pasti akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Sehubungan itu, polis menyeru orang ramai membantu menyalurkan maklumat jenayah dadah menerusi Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529220, 088-529211 atau WhatsApp ke talian 019-2182729,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Mac 2020 @ 5:05 PM