ANTARA suspek yang ditahan polis. FOTO Juwan Riduan
ANTARA suspek yang ditahan polis. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Seramai 44 individu disyaki penagih dan pengedar dadah ditahan dalam operasi membanteras penyalahgunaan dadah di daerah ini yang berakhir Jumaat lalu.

Dalam operasi selama seminggu itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu turut berjaya merampas dadah jenis syabu dan ganja yang dimiliki beberapa individu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, hasil operasi itu, seorang individu ditahan selepas didapati menjalankan kegiatan pengedaran dadah dan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Katanya, 14 lagi yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 ADB 1952 kerana memiliki dadah.

"Selain itu, 28 individu turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(A) ADB 1952 selepas didapati positif dadah.

"Manakala seorang individu lagi ditahan mengikut Seksyen 3(1) akta yang sama di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Habibi berkata, semua individu yang ditahan berusia antara 18 hingga 53 tahun.

"Jumlah keseluruhan rampasan dadah pula sebanyak 11.67 gram syabu dan 0.75 gram ganja yang dianggarkan bernilai RM1,204.50," katanya.

Habibi berkata, kerjasama masyarakat setempat amat diperlukan untuk menyalurkan maklumat kepada polis dalam usaha membanteras jenayah dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 September 2020 @ 5:28 PM