SUSPEK yang ditahan di Suang Parai dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut. FOTO Juwan Riduan
SUSPEK yang ditahan di Suang Parai dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


SERAMAI 26 individu yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah ditahan dalam serbuan di Kampung Suang Parai, Kota Kinabalu, hari ini.

Operasi jam 12 tengah hari itu dijalankan lima pegawai dan 58 anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) bersama Unit Anjing Pengesan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi itu dijalankan selama dua jam di kawasan terbabit.

Katanya, hasil serbuan itu, polis menahan 26 lelaki termasuk enam warga asing yang melakukan pelbagai jenayah dadah termasuk dua pengedar.

"Dalam operasi ini, polis turut berjaya merampas 1.5 gram serbuk dadah dipercayai syabu daripada suspek yang ditahan.

"Sepanjang operasi ini, polis turut berdepan cabaran termasuk tindakan agresif suspek selain laluan sempit di penempatan atas air di kampung berkenaan," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, hari ini.

Menurutnya, polis juga terpaksa melalui jambatan yang terdedah dengan penyambungan elektrik haram.

"Cabaran yang ada dalam operasi ini cukup membahayakan keselamatan pasukan serbuan.

"Tapi kita bersyukur kerana operasi kali ini berjalan lancar," katanya.

Habibi berkata, operasi ini akan diadakan lagi terutama di empat kawasan perkampungan yang dikenal pasti sebagai kawasan panas bagi aktiviti penyalahgunaan dadah.

"Kita akan menjalankan operasi serbuan di Sembulan, Kampung Kandang Ayam atau Bakau, Kampung Wak-Wak dan Kampung Lokub.

"Ia bagi memastikan keseluruhan kawasan bebas daripada sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah," katanya.

Menurutnya, BSJN IPD Kota Kinabalu berjaya menahan 1,374 individu sejak Januari lalu.

Selain itu, katanya, IPD Kota Kinabalu turut berjaya menumpaskan dua sindiket dadah dan lapan individu disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah- langkah Pencegahan Khas (LLPK).

"Kita turut menahan 54 individu mengikut Seksyen 39C ADB 1952 dan sepanjang tempoh itu juga, polis berjaya merampas 5,459.35 gram syabu bernilai RM700,759," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 6:03 PM