GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli


JURUTEKNIK lelaki rugi lebih RM155,000 akibat terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang mendakwa akaun banknya akan dibekukan kerana terbabit dalam kes kemalangan maut.

Terdahulu, mangsa berusia 56 tahun menerima panggilan telefon dari seorang wanita mendakwa dari Balai Polis Bukit Mertajam pada 14 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan A A Anbalagan berkata, suspek mendakwa mangsa terbabit dalam kemalangan jalan raya hingga menyebabkan kematian seorang lelaki.

Menurutnya, mangsa kemudian memberi nombor MyKad dan alamat selepas diminta suspek berkenaan sebelum talian disambungkan kepada seorang lelaki.

“Suspek lelaki itu bertanya akaun bank dan jumlah wang pengadu (mangsa) kerana akan dibekukan.

“Pengadu kemudian diminta membuka satu akuan bank dengan mendaftar nombor telefon yang diberikan selain menggunakan nombor MyKadnya sebagai nombor pin.

“Suspek juga meminta pengadu memindahkan wang simpanan dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) ke akaun baru,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian membuka akaun bank di Bayan Baru pada keesokannya seperti diarahkan dan memberi nombor pin kepada suspek lelaki itu.

“Bagaimanapun, pengadu kemudian membuat semakan pada semalam sebelum mendapati baki dalam akaun bank berkenaan hanya tinggal RM115.20 sekali gus hilang wang berjumlah RM155,401.50,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek licik apabila mengarahkan mangsa tidak menceritakan kepada sesiapa termasuk anak mangsa yang bekerja sebagai pegawai bank.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan individu yang berurusan di telefon dan media sosial bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 January 2020 @ 3:02 PM