TIKAR mengkuang yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
TIKAR mengkuang yang dirampas. FOTO ihsan MAQIS
Zuhainy Zulkiffli


JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas dagangan tembakau dari Indonesia di Dermaga Air Dalam (DAD), Butterworth.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang, Zarina Ramli berkata, rampasan dilakukan anggota penguat kuasa kira-kira jam 10 pagi pada 3 Januari lalu.

Katanya, rampasan dilakukan berikutan tikar mengkuang seberat 1,035 kilogram dengan nilai anggaran RM20,451.33 digunakan sebagai pembalut tembakau tanpa permit import dan sijil fitosanitasi.

"Tikar mengkuang itu digunakan sebagai pembalut tembakau yang dibawa syarikat berkenaan.

“Ia dibawa masuk dari Pelabuhan Pangkalan Butterworth Utara (NBCT) sebelum tiba ke DAD," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zarina berkata, tikar mengkuang yang digunakan sebagai pembalut itu perlu mempunyai permit import oleh MAQIS dan sijil fitosanitasi daripada negara asal.

Beliau berkata, ia bagi mengesahkan bahawa tikar mengkuang itu sudah menjalani rawatan yang sepatutnya sebelum boleh digunakan sebagai pembalut tembakau dan dibawa masuk ke dalam Malaysia.

"Tindakan yang diambil adalah bagi mengingatkan orang awam dan pengimport supaya mematuhi undang-undang untuk mengelakkan sebarang risiko penyakit dan serangga perosak yang dikhuatiri bersembunyi di dalam bahan pembungkusan dan aktif dalam keadaan tertentu.

"Adalah menjadi keperluan di bawah Seksyen 11(1) bagi pengimport memastikan bahawa keluaran pertanian yang dibawa masuk ke dalam Malaysia mempunyai permit sah import," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 11:30 AM