Biji kopi Arabica yang dipercaya dibawa dari Papua New Guinea disita MAQIS kerana tidak mematuhi syarat permit import di NBCT Butterworth pada Jumaat lalu. Foto ihsan MAQIS
Biji kopi Arabica yang dipercaya dibawa dari Papua New Guinea disita MAQIS kerana tidak mematuhi syarat permit import di NBCT Butterworth pada Jumaat lalu. Foto ihsan MAQIS
Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Kontena yang membawa 320 guni biji kopi Arabica dipercayai dari Papua New Guinea ditahan selepas pemeriksaan mendapatinya dibawa masuk tanpa mematuhi syarat permit import.

Pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini, Jumaat lalu, mendapati kontena berkenaan membawa biji kopi seberat 19,200 kilogram (kg) bernilai RM156,213.57.

Pengarah MAQIS Pulau Pinang Zarina Ramli berkata, pemeriksaan terhadap barangan yang dibawa didapati pengimport melakukan kesalahan tidak patuh membabitkan Sijil Perakuan 3P.

"Oleh sebab itu, kesemua dagangan terbabit disita oleh pihak MAQIS untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, perbuatan mengimport hasil keluaran pertanian tidak mematuhi piawaian yang dikehendaki pada permit import MAQIS adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Katanya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

"MAQIS mengambil langkah serius dalam isu membabitkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

"Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 September 2020 @ 1:39 PM